Horton-Tucker pulihkan impian Lakers

LOS ANGELES, 12 MEI – Talen Horton-Tucker menjaringkan percubaan tiga mata pada minit akhir masa tambahan ketika Los Angeles Lakers merampas kemenangan 101-99 ke atas New York Knicks, kelmarin.

Percubaan Horton-Tucker dari jarak jauh dengan perlawanan berbaki 21.1 saat melengkapkan kemenangan buat Lakers dan menghalang Knicks dari meraih penampilan pertama playoff sejak 2013.

Penamat yang penuh dramatik dalam pertemuan di Staples Center, menyaksikan bekas pemain Lakers kini bersama Knicks, Julius Randle mendominasi perlawanan bagi tempoh yang panjang dengan persembahan 31 mata.

Randle kelihatan memberikan Knicks kelebihan dengan jaringan tiga mata mantap yang meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan 99-98 ketika perlawanan berbaki lebih satu minit.

Tetapi kesalahan travelling ke atas Randle beberapa saat kemudian menyerahkan penguasaan permainan kepada Lakers, membenarkan Horton-Tucker untuk meraih mata kemenangan melalui percubaan tiga mata.

Aksi Talen Horton-Tucker membuat jaringan tiga mata ketika LA Lakers bertemu New York Knicks di Staple Center, baru-baru ini.- AFP

Kemenangan tersebut bermakna harapan Lakers untuk mengesahkan kedudukan di playoff secara automatik masih lagi boleh dicapai, dengan berbaki tiga perlawanan.

Lakers, yang terlepas bintang utama, LeBron James akibat kecederaan, berada di tangga ketujuh di Western Conference dengan 39 kemenangan dan 30 kali tewas. Pasukan enam teratas mara secara automatik ke perlawanan selepas musim.

Horton-Tucker menamatkan perlawanan dengan 13 mata sementara Kyle Kuzma mengetuai serangan Lakers dengan 23 mata. Anthony Davis menambah 20 mata sementara Andre Drummond menjaringkan 16 mata dengan 18 rebound.

Randle sementara itu dibantu oleh Derrick Rose yang menjaringkan 27 mata.

Dalam perlawanan lain, Andrew Wiggins menjaringkan 38 mata ketika Golden State Warriors menewaskan pasukan tangga kedua, Phoenix Suns 122-116 di San Francisco.- AFP