Hospital di Wuhan guna robot

WUHAN, 7 FEB – Dua hospital di Wuhan menggunakan robot yang dilengkapi teknologi 5G untuk membimbing pesakit dan menyahjangkit kawasan kuarantin bagi mengurangkan infeksi silang, lapor agensi berita Xinhua.

Satu robot, dipasang dengan kemudahan skrin interaktif, digunakan di dewan hospital untuk membimbing pesakit bagi menjalani diagnosis dan mempromosikan maklumat mengenai pencegahan wabak, menurut syarikat yang membangunkan robot itu, CloudMinds.

Satu lagi robot diprogramkan untuk membersihkan dan menyahjangkit kawasan kuarantin serta menghantar ubat-ubatan.

Robot itu disumbangkan ke hospital yang dikhaskan untuk merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus novel, menurut syarikat itu. Robot ditugaskan di barisan hadapan dalam membantu China memerangi wabak koronavirus selain untuk mengurangkan risiko infeksi silang dan meningkatkan kecekapan. – Bernama