Hospital Kanada sahkan kes koronavirus

TORONTO, 26 JAN – Hospital Toronto kelmarin mengesahkan kes pertama di Kanada berikutan virus Koronavirus yang boleh membawa maut yang mula tersebar di China.

Pusat Sains Kesihatan Sunnybrook berkata ia telah merawat seorang pesakit disahkan dijangkiti novel koronavirus yang berasal dari Wuhan, China.

Pegawai berkata pesakit lelaki berusia 50an dan baru-baru ini terbang dari Wuhan, China ke Guangzhou, China dan seterusnya ke Toronto pada 23 Januari lalu.

“Dia tidak lama berada di Toronto. Dia berasa tidak sihat. Saya fikir dia berada di rumah dan mereka yang tinggal bersamanya berusaha mengasingkan diri,” kata Dr Barbara Yaffe, Ketua Pegawai Perubatan Bersekutu Ontario.

Wabak virus baharu berasal dari China, telah membunuh 56 orang dan telah tersebar di seluruh dunia.

Australia dan Malaysia telah melaporkan kes pertama melibatkan empat pesakit dari setiap negara dan Jepun melaporkan kes ketiganya. Manakala Perancis mengesahkan tiga kes pada Jumaat, pertama tersebar di Eropah, dan Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti jangkitan kedua melalui seorang wanita di Chicago yang baru pulang dari China.

Di Kanada, sementara kes itu disahkan oleh ujian yang dilakukan di Toronto, pegawai berkata ia masih belum selesai melakukan ujian berasingan yang dijalankan oleh Pusat Kerjasama Negara Persekutuan untuk Penyakit berjangkit di Winnipeg. Penyakit itu akan secara rasmi diumumkan sepenuhnya apabila ujian tersebut selesai. – AP

Seorang wanita memakai penutup muka berikutan penyebaran virus baharu ketika orang ramai tiba dari terminal Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson di Toronto. – AP