Hospital minta ‘bayaran’ terima pesakit COVID-19

NEW DELHI, 14 JUN – Ancaman wabak COVID-19 yang semakin meningkat di India menyebabkan pesakit sukar mencari hospital yang sedia merawat mereka, malah ada yang menuntut bayaran tidak masuk akal.

Di New Delhi saja, dianggarkan 80,000 katil diperlukan menjelang hujung Julai ini dan kerajaan mungkin terpaksa mengubah suai stadium dan dewan perkahwinan menjadi hospital untuk merawat COVID-19. Ketika ini, hospital kerajaan hanya mempunyai 8,505 katil untuk pesakit COVID-19 dan hospital swasta pula 1,441 katil, sehingga memaksa sesetengah keluarga membayar sehingga AS$5,250 bagi mendapatkan katil.

Anak kepada pesakit COVID-19, Suman Gulati, berkata beliau diminta membayar sejuta rupee oleh sebuah hospital swasta jika ingin memasukkan ayahnya, Ashwani Jain, 45, ke wad rawatan virus itu.

Semua hospital menolak kemasukan Ashwani, biarpun ada aplikasi disediakan kerajaan menunjukkan masih ada kekosongan katil COVID-19 dan sepatutnya tidak memerlukan sebarang bayaran.

Seorang wartawan stesen televisyen Mirror Now TV yang menyamar sebagai pesakit COVID-19 dan cuba mendaftar masuk di lima hospital sekitar New Delhi mendakwa diminta membayar sehingga AS$5,250 sebelum diterima.

India, yang merekodkan 321,626 jangkitan termasuk 9,199 kematian setakat semalam, adalah negara keempat paling terjejas akibat virus itu selepas Amerika Syarikat (AS), Brazil dan Rusia. – AFP