Hospital PIHM terima 10 kerusi roda

Oleh Salawati Haji Yahya

TEMBURONG, 5 OGOS – Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Taiwan di Negara Brunei Darussalam dan Taiwan Graduates Association of Brunei Darussalam telah menyumbangkan 10 lagi kerusi roda di bawah kempen amal mereka.

Kali ini, kerusi-kerusi roda berkenaan disumbangkan kepada Hospital Pengiran Isteri Hajjah Maryam (PIHM), Daerah Temburong dan majlis penyerahannya telah diadakan di lobi hospital berkenaan, hari ini.

Hadir menyerahkan sumbangan berkenaan ialah wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei, Andrew H C Lee serta pengerusi dan naib pengerusi persatuan-persatuan berkenaan, Yap Ong Chuan dan Alex Lo.

Sementara itu, sumbangan telah diterima oleh Penguasa Perubatan Hospital PIHM, Haji Ady Adillah bin Haji Ahmad dan Pekerja Tingkat II (Kerani Perubatan) Hospital PIHM, Dayang Aisah binti Haji Awang Jumat.

Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei dan kedua-dua persatuan sebelum ini juga telah menyumbangkan 40 kerusi roda untuk Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Bandar Seri Begawan, 60 kerusi roda untuk Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong dan 60 kerusi roda untuk Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait di Daerah Belait.

Kerusi roda yang disumbangkan oleh persatuan berkenaan kepada Hospital PIHM, Temburong.