Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 14 Mei – Sebagai pusat kecemerlangan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong mempunyai bidang perkhidmatan khusus bagi penjagaan yang terbaik dan berkualiti tinggi kepada semua pelanggan.
Hospital tersebut telahpun menjadi pusat sehenti (One Stop Centre) bagi diagnosis dan rawatan pesakit seperti kes-kes pembedahan mata (katarak), perkhidmatan endoskopi dan gastroenterologi di mana pesakit boleh didaftarkan, didiagnosis dan dirawat di satu tempat.
Menurut Konsultan, Pemangku Penguasa Perubatan Hospital PMMPMHAMB, Dr. Norazlina binti Haji Abdul Rahman ketika ditemubual, buat masa ini, Hospital PMMPMHAMB sebagai pusat sehenti mempunyai dua perkhidmatan iaitu perkhidmatan endoskopi dari Jabatan Gastroenterologi yang dijalankan dua hari seminggu dan akan ditambah lima hari seminggu dalam jangka masa enam bulan ini.
Selain itu, Hospital PMMPMHAMB juga mempunyai perkhidmatan pembedahan Mata (katarak), yang mana sudah berjalan dari bulan September 2016 untuk pesakit Daerah Tutong dan kemudian ditambah dengan pesakit yang dirujuk dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Dengan adanya perkhidmatan pembedahan mata ini, masa menunggu bagi para pesakit yang hendak membuat pembedahan semakin berkurangan.

Pada masa ini, perkhidmatan pembedahan mata dijalankan dua kali seminggu iaitu setiap Hari Isnin dan Selasa, jelas Dr. Norazlina.
Dr. Norazlina juga menambah Hospital PMMPMHAMB juga akan mempunyai perkhidmatan urologi yang mempunyai prinsip yang sama agar perkhidmatan akan lebih cekap dan masa membuat prosedur akan berkurangan dan lagi banyak kes dapat dikendalikan.
Buat masa ini, perkhidmatan urologi tersebut masih dalam perancangan dan akan dijalankan tidak lama lagi dan berjalan secara perlahan-lahan.
Visi Kementerian Kesihatan adalah untuk memudahkan pesakit membuat pendaftaran, didiagnosis dan dirawat di dalam satu tempat.
Strategi Kementerian Kesihatan untuk menjadikan hospital berkenaan sebagai pusat kecemerlangan ialah untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan membuat perkhidmatan tersebut lebih efisien disamping dapat mengurangkan masa menunggu pesakit terhadap pembedahan yang memerlukan prosedur.
Pelaksanaan ini akan menyumbang kepada kebaikan perkhidmatan di hospital, sejajar dengan salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu memberikan perkhidmatan yang terbaik melalui penggabungan dan penyusunan semula perkhidmatan penjagaan kesihatan.