Hospital punca penyebaran COVID-19 – PM Itali

ROM, 25 FEB – Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte menyalahkan pengurusan sebuah hospital di utara Itali sebagai punca penyebaran wabak COVID-19.

“Pada ketika ini, kita tahu bahawa cara hospital itu diuruskan tidak sesuai sepenuhnya,” Conte memberitahu TV Itali.

“Ini sememangnya menyumbang kepada penyebaran wabak tersebut,” katanya, tanpa menamakan institusi berkenaan. Pusat jangkitan utama wabak ialah di bandar Codogno, sekitar 60 kilometer dari selatan bandar Milan.

Codogno dan beberapa bandar lain di utara Itali telah berada di bawah langkah-langkah pengasingan dalam usaha untuk membendung penularan virus itu.

Itali telah melihat peningkatan besar dalam kes itu dari enam kes hingga 229 kes sejak Jumaat lalu, bermakna ia mempunyai bilangan terbesar jangkitan yang disahkan di Eropah.

Walau bagaimanapun, semalam peningkatan kes-kes semakin stabil, dengan hanya 10 jangkitan dilaporkan.

Tujuh orang di Itali setakat ini meninggal dunia selepas dijangkiti virus itu, semuanya adalah warga emas. – AFP