Hospital RIPAS ketatkan peraturan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dengan situasi dan bertambahnya jangkitan COVID-19 pada masa ini serta usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pesakit-pesakit diberikan keutamaan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan telah meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan hospital berkenaan dalam menangani wabak di hospital itu.

Dalam hubungan itu, Hospital RIPAS telah melaksanakan beberapa langkah untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan pesakit-pesakit di hospital itu.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memperkenalkan semula peraturan-peraturan ketat iaitu tidak membenarkan mana-mana pelawat berada di mana-mana kawasan hospital, kecuali bagi pesakit-pesakit yang sakit tenat sahaja akan dibenarkan menerima seorang pelawat dalam satu masa.

Manakala itu, pendamping, penjaga hospital dan pelawat yang menunjukkan gejala seperti batuk, demam dan sebagainya tidak dibenarkan masuk ke hospital, pendamping dan penjaga hospital perlu berada di dalam kawasan wad dan perlu memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor, telefon dan jam masuk dan keluar wad bagi memudahkan pengesanan kontak.

Pendamping dan penjaga di bawah umur 12 tahun pula tidak dibenarkan serta penjaga dan pendamping yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah dan ungu tidak dibenarkan masuk.

Pada masa yang sama, golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kronik hanya dibenarkan untuk menghadirkan diri ke Hospital RIPAS bagi mendapatkan rawatan yang benar-benar diperlukan sahaja.

Hospital RIPAS memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin dihadapi di mana tindakan mengetatkan kawalan itu adalah bagi menjaga pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan berserta kakitangan kesihatan yang bertugas serta pendamping.

Dalam hubungan itu, kerjasama dan kefahaman orang ramai dalam perkara itu adalah sangat-sangat diharapkan serta jika mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Talian Darussalam 123 atau melalui aplikasi WhatsApp (8333123).