Hospital RIPAS terima 933 pensanitasi tangan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) hari ini menerima sebanyak 933 pensanitasi tangan berpelembap yang disumbangkan Klinik Dr Amir bagi kegunaan para petugas barisan hadapan termasuklah para doktor, jururawat, kakitangan dan sukarelawan yang terlibat dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Pengarah Klinik Dr Amir, Dato Paduka Dr Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim menyerahkan sumbangan tersebut di Pusat Saringan Kesihatan, Kompleks Sukan Hospital RIPAS. Hadir bagi menerima sumbangan berkenaan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas Hospital RIPAS, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad. Juga hadir bagi menyaksikan majlis penyerahan sumbangan tersebut ialah para pegawai kanan Hospital RIPAS.

Sumbangan berkenaan merupakan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan kerja keras yang diberikan oleh para petugas barisan hadapan.

Sumbangan yang sama turut diberikan bagi para petugas barisan hadapan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Daerah Tutong, Hospital Suri Seri Begawan di Daerah Belait dan di Pusat Kesihatan Berakas.

Pengarah Klinik Dr Amir (kiri) menyerahkan sumbangan pensanitasi tangan berpelembap kepada Awang Abdul Hazis.