Hospital Selayang terima sumbangan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Yayasan Usahawan Negara (YUN) mengambil inisiatif menyumbangkan barangan perubatan bernilai kira-kira RM35,000 kepada Hospital Selayang dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam usaha membantu petugas barisan hadapan mengekang penularan wabak COVID -19.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pemilihan Hospital Selayang dalam usaha itu adalah untuk membalas budi kepada hospital berkenaan yang banyak membantu bekas atlet negara yang berdaftar di bawah yayasan itu.

“Hospital Selayang banyak bantu YAKEB dalam memberi rawatan terbaik kepada bekas atlet. Hospital Selayang juga banyak memberi nasihat kepada YAKEB dan menjadi pemudah cara dalam mendapatkan rawatan perubatan kepada bekas atlet negara sekali gus melicinkan tugas kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumbangan tersebut meliputi alat pemantau suhu badan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan tudung sarung untuk kegunaan petugas perubatan di hospital berkenaan.

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang yang juga Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman.

Bantuan itu juga antara aktiviti ‘Sports4Community’ yang diusahakan YAKEB sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan lain, Noorul mengesahkan 50 bekas atlet kebangsaan akan menerima bantuan RM500 setiap seorang bagi fasa ketiga pembayaran peruntukan berjumlah RM100,000 menerusi Tujuh Inisiatif Proaktif Kementerian Belia dan Sukan kepada YAKEB, minggu ini. – Bernama