Hospital SSB terima sumbangan 30 kerusi roda

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Dengan tema From Taiwan With Love, Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei telah meneruskan lagi aktiviti kebajikannya dengan menyumbangkan sebanyak 30 buah kerusi roda untuk Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, hari ini.

Sumbangan berkenaan adalah kesinambungan daripada sumbangan sebanyak 40 buah kerusi roda dan 60 buah kerusi roda masing-masing kepada Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada Mei dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan dilaksanakan kerjasama Persatuan Perniagaan Taipei di Brunei Darussalam dan Persatuan Graduan Taiwan Brunei Darussalam.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei, Andrew H.C. Lee serta pengerusi persatuan-persatuan berkenaan, Yap Ong Chuan dan Albert Chin.

Sementara itu, hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital SSB, Awang Borhan bin Hamdan.

Sumbangan berkenaan merupakan kempen amal persatuan yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara Taipei dan Brunei serta inisiatif tanggungjawab korporat sosial Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei.

Sebanyak 174 kerusi roda telah disumbangkan sejak ia dilancarkan pada awal Mei lalu dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 130 kerusi roda telah disumbangkan ke Hospital RIPAS, Hospital PMMPMHAMB dan hari ini Hospital SSB.

Sementara itu, kerusi roda selebihnya akan diatur untuk disumbangkan ke hospital awam dan organisasi amal swasta yang lain.

Awang Borhan bergambar ramai bersama Andrew H.C. Lee, Yap Ong Chuan dan Albert Chin semasa menerima sumbangan kerusi roda berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim