Hospital SSB terima sumbangan peralatan perubatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), hari ini, telah menyampaikan sumbangan berupa peralatan perubatan termasuk satu unit ultrabunyi mudah alih kepada Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, sebagai sebahagian daripada inisiatif #BSPCares.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri M Powell kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital SSB, Awang Borhan bin Haji Hamdan pada majlis yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan, Hospital SSB. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Korporat BSP, Haji Jaafar bin Haji Bakar, pegawai-pegawai kanan, kakitangan dari Hospital SSB dan BSP.

Dr Powell pada majlis berkenaan, menyatakan rasa amat berbesar hati kerana berpeluang untuk menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Hospital SSB bagi mewakili kakitangan BSP yang bermurah hati menyumbang ke arah inisiatif #BSPCares.

Inisiatif itu, jelasnya, dimulakan sebagai usaha menangani COVID-19 di mana pihaknya akan terus memberikan soko-ngan kepada Kementerian Kesihatan.

Walaupun dunia pada masa ini menumpukan kepada usaha menangani pandemik COVID-19, sumbangan yang dihulurkan oleh kakitangan BSP dihasratkan untuk memberikan nilai jangka panjang kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Hospital SSB yang diharap akan memanfaatkan para pesakitnya melepasi pandemik ini.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kempen #BSPCares yang diterajui oleh kakitangan BSP yang dilancarkan awal tahun ini. Menerusi inisiatif berkenaan, pada awal April, BSP telah membantu dalam penyediaan Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong yang baharu di mana kakitangan dialu-alukan untuk menyumbang kepada Kempen #BSP100 Katil ketika Negara Brunei Darussalam menangani pandemik COVID-19.

Kemurahan hati yang ditunjukkan oleh kakitangan BSP telah menyaksikan 110 buah katil disumbangkan dan hasil sumbangan adalah melebihi daripada yang diperlukan.

Dr Ceri M Powell menyampaikan sumbangan kepada Awang Borhan dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Perkembangan Kesihatan, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan