Hospital swasta bantu tangani peningkatan kes di S’wak

KUCHING, 22 SEPT – Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) telah meminta ahli-ahli persatuan itu di sini untuk membantu kerajaan menangani peningkatan pesakit COVID-19 di negeri ini.

Presidennya Datuk Dr Kuljit Singh berkata sehingga semalam, seba-nyak 3,732 kes positif dilaporkan di Sarawak, namun, jumlah peratusan bagi kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) mencatatkan angka tunggal.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kumulatif kategori empat dan lima di unit rawatan rapi (ICU) dan wad akan meningkat dalam masa terdekat melebihi ruang dan kemudahan sedia ada, selain membeban-kan kakitangan kesihatan di hospital kerajaan.

“Sebuah hospital swasta daripada satu konglomerat dari semenanjung di Kuching telah bersetuju untuk mengambil pesakit COVID-19 yang menanggung kos rawatan sendiri bermula minggu depan, sejurus penyediaan kemudahan baharu serta mendapat kelulusan.

“Namun, kebanyakan hospital swasta di sini mempunyai kapasiti katil yang rendah dan peratus kemudahan ICU dan katil untuk merawat COVID-19 yang terhad. Hospital persendirian lain di bandar raya ini sedang dalam perbincangan untuk menyediakan sokongan jika diminta kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama