Hospital UK dilanda wabak virus ditutup

LONDON, 8 JULAI – Sebuah hospital di kawasan pengundian Perdana Menteri Britain, Boris Johnson di barat London berkata hari ini bahawa ia telah ditutup kepada pesakit kecemasan selepas dilanda wabak koronavirus.

Wabak itu diisytiharkan pada Jumaat lalu di Hospital Hillingdon oleh badan amanah Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).

Semalam, 70 anggota kakitangan sedang menjalani kuarantin, ‘beberapa orang’ telah pun diuji positif dijangkiti virus itu, kata jurucakap badan amanah.

“Akibatnya, badan amanah telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menutup Hospital Hillingdon kepada ambulans kecemasan dan kemasukan pesakit kecemasan,” kata beliau.

Kerajaan Britain telah mencatat lebih daripada 44,000 kematian dalam pesakit yang disahkan dijangkiti koronavirus, jumlah tertinggi di Eropah, dengan statistik menunjukkan angka tersebut mungkin jauh lebih tinggi.

Negara itu mencatat 65,000 lebih kematian daripada biasa dalam tempoh tiga bulan hingga Julai apabila virus menular ke seluruh negara.

Satu sekatan yang dikenakan pada akhir Mac sedang dilonggarkan tetapi Johnson, yang sendiri menghabiskan seminggu di hospital dengan koronavirus, berkata beliau akan bertindak segera untuk menutup wabak setempat. – AFP