Hotel dibenarkan keluar permit umrah

JEDDAH, 6 MEI – Kementerian Haji dan Umrah membenarkan hotel di sekitar Masjidil Haram mengeluarkan permit Umrah sempena Ramadan selain bertujuan merancakkan kembali sektor perhotelan di Mekah, demikian menurut laporan kelmarin.

Langkah itu akan dilaksanakan Kementerian Haji dan Umrah, bersama Pihak Berkuasa untuk Data dan Kecerdasan Buatan melalui aplikasi “Eatmarna” dan “Tawakkalna”, dengan syarat tetamu memenuhi syarat peraturan dan protokol kesihatan yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan kepada Agensi Berita Saudi (SPA), Timbalan Menteri Haji dan Umrah Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat, menekankan prosedur ini akan berperanan mengaktifkan proses pelaburan sektor perhotelan, yang banyak bergantung pada musim Haji dan Umrah, yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan langkah pencegahan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perhotelan di bawah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Mekah, Rayan Osama Filali, menjelaskan sebanyak 1,800 hotel dan lebih 250,000 unit kediaman bakal disediakan untuk menerima jemaah umrah, berdasarkan protokol kemudahan penginapan pelancongan yang berkaitan. – Bernama