Thursday, October 10, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hotel Garden Sentral dipilih dalam inisiatif jimat tenaga

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 8 Feb – Inisiatif penjimatan tenaga bagi usaha mengurangkan penggunaan elektrik di KBSentral yang telah bermula tahun lepas merupakan projek bersama Jabatan Mekanikal dan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan Hotel Garden Sentral telah dipilih antara beberapa hotel untuk terlibat.

    Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) KBSentral, Dayang Anizah binti Haji Ja’afar, hari ini, memberitahu bahawa usaha penjimatan tenaga adalah inisiatif yang diketuai oleh HSE, disokong oleh semua jabatan di bawah pengurusan KBSentral Property bersama-sama dengan pelbagai penyewa di pusat beli-belah itu.

    Menurutnya, projek tersebut melibatkan pemantauan konsumsi meter harian serta penggunaan elektrik bulanan dan dari sana dapat melihat bahagian mana hotel yang melibatkan penggunaan tinggi dan langkah yang patut diambil untuk mengurangkannya.

    Katanya, ia boleh dilakukan dengan mengurangkan suhu untuk Unit Pengendalian Udara (AHU) termasuk memadamkan lampu di kawasan-kawasan tertentu, mematikan kipas ekzos, AHU dan unit penyaman udara pada masa yang lebih awal.

    Dayang Anizah menunjukkan stiker yang digunakan untuk dilekatkan di sekitar atau di sebelah soket elektrik.
    Dayang Anizah menunjukkan stiker yang digunakan untuk dilekatkan di sekitar atau di sebelah soket elektrik.

    “Inisiatif ini diharapkan akan dapat memupuk kesedaran tentang pentingnya penjimatan tenaga, selain bagi mendidik kakitangan KBSentral tentang bagaimana mengurangkan penggunaan elektrik dan pada masa yang sama juga mengurangkan pembaziran.

    “Contohnya, apabila operasi perniagaan tutup jam 5:30 petang, di pejabat pentadbiran, kami menggalakkan kakitangan untuk mematikan semua litar elektrik dan peralatan pejabat. Selain itu, walaupun semasa waktu operasi, kakitangan sentiasa diingatkan untuk mematikan sebarang litar elektrik dan peralatan pejabat apabila tidak digunakan lagi,” ujarnya.

    Sehubungan dengan itu, untuk terus mengamalkan kesedaran jimat penggunaan tenaga, kakitangan di KBSentral telah diserasikan dengan penggunaan pelekat tertulis ‘Tutup’ yang dilekatkan berhampiran atau di sebelah soket elektrik yang terdapat di pusat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda