Hotel hangus ragut 17 nyawa

NEW DELHI, 12 Feb – Sekurang-kurangnya 17 orang terkorban apabila sebuah hotel bajet di Delhi dijilat api awal pagi hari ini dalam satu kejadian terbaharu yang meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan kebakaran di India.

Kebakaran itu berlaku di Hotel Arpit Palace di kawasan sesak tengah Delhi, dengan imej menunjukkan api memusnahkan keseluruhan tingkat atas hotel tersebut.

“Kami telah disahkan oleh pihak berkuasa hospital bahawa jumlah yang terkorban sekarang adalah 17 orang termasuk seorang kanak-kanak,” menurut pegawai bomba, Sunil Choudhary memberitahu kepada AFP.

Laporan media tempatan berkata wanita dan kanak-kanak itu meninggal dunia ketika mereka cuba untuk menyelamatkan diri dengan melompat dari jendela.

Pengarah bomba Delhi, G.C. Misra berkata kebakaran itu berjaya dikawal dan seramai 35 orang telah berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dalam operasi yang memakan masa beberapa jam.

Keadaan Hotel Arpit Palace selepas berlaku kebakaran awal pagi kelmarin yang mengorbankan 17 orang. – AP

“Terdapat panelan kayu di koridor yang menyebabkan orang ramai tidak dapat menggunakan koridor untuk menyelamatkan diri,” beritahu seorang lagi pegawai bomba kepada para wartawan.

Imej menunjukkan asap tebal dan api kelihatan dari tingkat atas hotel empat tingkat itu yang terkenal dengan pelancong.

Pihak polis berkata mereka sedang menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran itu berlaku.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan dengan bantuan sekurang-kurangnya 25 jentera bomba dengan tingkat atas bangunan itu musnah dijilat api.

Kejadian kebakaran sering berlaku di India kerana standard keselamatan yang teruk dan penguatkuasaan undang-undang yang tidak tegas.

Menurut aktivis, para pemilik dan jurubina seringkali tidak menghiraukan keselamatan untuk menjimatkan kos dan menuduh pihak berkuasa awam cuai. Kebakaran sering berlaku di Mumbai, bandar kewangan India di mana berjuta-juta orang hidup di kawasan setinggan dan sesak disebabkan kadar sewa yang tinggi.

Pada Disember lalu, lapan orang terkorban apabila sebuah hospital di Mumbai dijilat api. – AFP