Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    ‘Hotel’ mewah untuk arnab

    HONG KONG – Arnab berkeliaran di sekitar kawasan permainan dalam bangunan di pinggir bandar Hong Kong, dengan suhu yang terkawal, ada memanjat istana yang diperbuat daripada kayu manakala yang lain meneroka terowong diperbuat daripada kapas.

    Di salah sebuah bandar yang padat dengan penduduk, di mana kebanyakan pangsapuri mempunyai saiz yang kecil, arnab menjadi haiwan peliharaan yang sangat popular.

    Dan apabila pemiliknya meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama, terdapat pusat penjagaan arnab yang bersedia untuk menjaga haiwan kesayangan mereka yang kesepian di Bunny Style, sebuah ‘hotel’ untuk yang mewah untuk arnab.

    Penggunaan perkhidmatan ini meningkat dengan ketara apabila sekatan terhadap COVID telah ditarik balik di Hong Kong, yang membuatkan ramai orang mula membuat perjalanan jauh seperti bercuti atau balik kampung untuk menyambut Tahun Baharu Cina yang juga merupakan tahun arnab.

    Donna Li, pemilik Bunny Style, berkata perkhidmatannya telah ditempah sepenuhnya semasa cuti tahun baharu tersebut dan dia memastikan caj yang dikenakannya adalah berpatutan dengan melayan ‘pelanggannya’ dengan senaman yang kerap, pesta, rawatan spa dan banyak lobak merah.

    Kakitangan pusat penjagaan sedang membersihkan tempat tidur arnab di Bunny Style. – AP

    Seekor arnab atau ‘pelanggan’ hotel yang khusus untuk penjagaan arnab, sedang bermain dan menikmati waktunya di pusat tersebut. – AP
    Kek yang awal ditempah oleh pelanggan untuk arnab mereka ketika berada di Bunny Style. – AP
    Pelanggan yang sudah menempah menghantar arnab mereka ke pusat penjagaan Bunny Style. – AP
    Seekor arnab yang mendapat rawatan spa ketika di Bunny Style, Hong Kong. – AP

    “Kami berhasrat untuk menyediakan persekitaran yang selamat,” kata Li.

    Li, yang mempunyai dua ekor arnab peliharaannya sendiri, menubuhkan Bunny Style pada bulan Jun, bermula dengan hanya sebuah bilik permainan yang menawarkan ruang untuk melompat dan berehat daripada cuaca panas dan lembap di Hong Kong.

    “Pada mulanya, idea saya adalah untuk penyediaan ruang permainan dalaman yang selamat dengan suhu yang sesuai untuk arnab,” kata Li.

    Ketika kerajaan mula menarik balik sekatan COVID pada September, Li merasakan kemungkinan adanya permintaan dari orang ramai dan dia segera menyediakan kemudahan tersebut. Tempahan telah penuh dibuat sepanjang Krismas dan Li telah mula membuka tempahan untuk hari ‘Easter’.

    Dengan 15 ekor arnab, Li dan kakitangannya akan sibuk sepanjang cuti yang paling penting dalam kalendar Cina.

    Selain daripada memberi makan, sesetengah pemilik juga ada memesan kek sayur khas untuk ‘anak’ yang mereka tinggalkan. Bukan itu saja, terdapat juga sesi rawatan spa seperti memberus bulu, memotong kuku dan bersenam untuk diuruskan.

    “Saya rasa arnab faham apa yang manusia cakapkan. Ia dapat merasakan sama ada kita bersikap baik kepadanya dan menjaganya dengan baik,” kata Li.

    “Jadi apabila saya menjaga haiwan tersebut, saya banyak bercakap dengannya, memberitahunya betapa cantik dan comelnya haiwan tersebut.”

    Penstriman langsung dan klip video juga disediakan, “jadi kami tahu bahawa arnab kami sedang aktif melompat dan berseronok,” kata Rainbow Li, yang menemui Bunny Style di internet dan menempah untuk arnabnya semasa dia dan pasangannya mengembara ketika Krismas.

    Bunny Style mengenakan bayaran kira-kira AS$15 untuk satu malam, termasuk setengah jam masa bermain yang diawasi. Rawatan kecantikan dan item menu istimewa adalah tambahan.

    Dengan populariti haiwan itu meningkat di Hong Kong, terdapat juga sesetengah pemilik yang tidak sanggup untuk memelihara haiwan comel tersebut.

    Untuk itu, terdapat tempat perlindungan seperti Tolobunny, yang ditubuhkan pada 2015 dan didedikasikan untuk mencari rumah baharu untuk arnab terbiar dengan membuat acara untuk mencari pemilik baharu.

    Jurucakap Tolobunny, Bridget Ng sudah pun menjangkakan peningkatan panggilan ke talian 24 jam tempat perlindungan itu dalam beberapa bulan selepas tahun baharu.

    Sehingga kini, sukarelawannya telah menyelamatkan 42 ekor arnab yang diserahkan oleh pemiliknya.

    “Dalam pemerhatian kami sepanjang tahun, terutamanya pada cuti perayaan seperti Hari Kekasih, Hari ‘Easter’ atau Krismas, terdapat lebih ramai orang yang ingin memelihara arnab, tetapi selepas beberapa bulan, akan ada lebih banyak arnab yang ditinggalkan,” kata Ng.

    Anjing dan kucing yang tiada tempat tinggal masih mendapat lebih banyak penjagaan, tetapi “Saya berharap akan ada lebih banyak perhatian dan sumber untuk semua jenis haiwan terbiar,” kata pengasas Winky Cheng. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...