LONDON, 10 JAN – Pengurus Newcastle, Eddie Howe, masih berharap penjaga gol Martin Dubravka akan kekal di St James’ Park selepas penghujung jendela perpindahan bulan ini.
Pemain antarabangsa Slovakia berusia 35 tahun itu banyak dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Pro Saudi, Al Shabab ketika dia memasuki enam bulan terakhir kontraknya dengan The Magpies.
Dubravka hanya dibolosi dua gol dalam tujuh perlawanan di semua pertandingan – kesemuanya kemenangan – dengan menggantikan Nick Pope yang mengalami kecederaan di mana Newcastle menghampiri tempat ke final Piala Liga dan berada di tempat kelima carta Liga Perdana Inggeris.
“Martin berada dalam situasi yang sukar,” kata Howe, hari ini.
“Dia memerlukan beberapa kata putus mengenai masa depannya, sama ada ia merupakan kontrak baharu dengan kami atau sebaliknya.
“Tetapi dia sudah pasti bermain dengan sangat baik dan saya sangat gembira dengannya.
“Dia telah bermain dengan baik dalam perlawanan kami baru-baru ini. Sekali lagi menentang Arsenal (kemenangan 2-0 dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga), saya fikir dia sangat bagus, jadi kami harap untuk menentukan sebarang perjanjian dengannya,” tambahnya. – AFP