Howe setuju potong gaji

LONDON, 2 APRIL – Pengurus Bournemouth Eddie Howe menjadi pengurus pertama Liga Perdana Inggeris yang secara suka rela membuat pemotongan gaji disebabkan oleh wabak koronavirus kelmarin.

Pengurus Cherries, Eddie Howe, 42, bersetuju untuk mengambil pemotongan ‘besar’ kepada kontrak yang dilaporkan bernilai £4 juta setahun untuk membantu mengurangkan kerugian kewangan yang disebabkan oleh pandemik.

Persatuan Pengurus Liga, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional, Liga Perdana Inggeris dan Liga Bola Sepak sedang berbincang dengan tujuan untuk mencapai satu persetujuan mengenai pemotongan gaji bagi pemain dan pengurus.

Namun Howe, ketua eksekutif, Neill Blake, pengarah teknikal pasukan pertama, Richard Hughes dan pembantu pengurus Jason Tindall telah bersetuju dengan pemotongan gaji besar untuk tempoh waktu bola sepak ditunda akibat krisis kesihatan.

Liga Perdana telah ditunda sehingga sekurang-kurangnya 30 April dan, dengan penularan pandemik masih belum reda, berkemungkinan musim ini akan ditunda lagi apabila stakeholder utama Liga Perdana Inggeris mengadakan mesyuarat esok.

Pengurus Cherries, Eddie Howe bersetuju secara sukarela membuat pemotongan gaji untuk tempoh waktu bola sepak ditunda akibat krisis kesihatan. – AFP

“Tatkala pandemik COVID-19 terus meningkat, timbulnya lebih banyak persoalan daripada jawapan mengenai kesannya,” menurut kenyataan dari Bournemouth.

“Ini adalah situasi yang tidak dijangkakan. Tetapi sebagai kumpulan lembaga, kami akan terus mencari cara-cara untuk memastikan masa depan kelab dan kaki tangan kami dilindungi apabila musim kembali.

“Dengan itu, ketua eksekutif Neill Blake, pengarah teknikal pasukan pertama Richard Hughes, pengurus Eddie Howe dan pembantu pengurus Jason Tindall akan mengambil sejumlah besar potongan gaji secara suka rela sepanjang tempoh musim yang tidak pasti ini.”

Bournemouth juga telah mengikut jejak langkah kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang lain, iaitu Tottenham, Newcastle dan Norwich untuk memberikan pemain cuti daripada tugas.

“Langkah-langkah berkenaan telah diambil bertujuan untuk melindungi kestabilan kewangan kelab dalam tempoh yang tidak pasti, bukan sahaja dalam bola sepak tetapi untuk perniagaan dalam semua industri di dunia,” kata kenyataan. – AFP