Howe ucap selamat tinggal kepada Bournemouth

LONDON, 2 OGOS – Pengurus Bournemouth, Eddie Howe telah meninggalkan kelab tersebut setelah disingkirkan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) secara persetujuan bersama.

Masa depan Howe bersama Bournemouth menjadi tidak menentu selepas perjuangan mereka di EPL selama lima musim berakhir pada Ahad lalu.

Howe mengakui bahawa selepas perlawanan terakhir Bournemouth bagi musim ini di Everton, dia tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan untuk berhenti dari memegang jawatan tersebut sebelum kempen 2020-2021 bermula pada 12 September.

Bournemouth akan memulakan musim mereka di Liga Kejuaraan tanpa Howe, yang memberitahu peminat bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk meninggalkan kelab.

“Selepas menghabiskan masa selama 25 tahun bersama kelab sebagai pemain dan pengurus, keputusan ini – yang dibuat bersama kelab – adalah yang paling sukar pernah saya lakukan,” Howe berkata dalam surat terbuka yang diterbitkan oleh Bournemouth.

“Walau apapun, semangat dan minat saya kepada kelab bola sepak ini akan kekal bersama saya, kami sebulat suara merasakan ini adalah masa yang sesuai bagi kelab untuk pergi melalui haluan yang baharu.

“Saya sentiasa memastikan setiap keputusan yang pernah saya buat sebagai ketua pasukan adalah bagi kebaikan kelab dan penyokongnya, tiada yang lain.”

Howe, yang turut bermain untuk kelab tersebut selama 11 tahun sebanyak dua kali, pada mulanya dilantik menjadi pengurus sementara pada tahun 2008, dengan kelab ketika itu hanya memungut 17 mata di tangga terbawah liga. – AFP

Eddie Howe telah meninggalkan Bournemouth setelah kelab tersebut disingkirkan dari Liga Perdana Inggeris secara persetujuan bersama.- AP