Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    HR Retreat bincang isu tenaga manusia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menganjurkan acara tahunan HR Retreat secara maya, baru-baru ini, yang disertai oleh 50 ahli profesional tenaga manusia dari 28 organisasi kerajaan dan swasta.

    Objektif acara tersebut antara lain untuk terus memupuk hubungan baik antara
    BILIF dengan pihak-pihak berkepentingan dan pelanggan BILIF, dan seterusnya menjadi sebuah platform bagi para peserta untuk membina rangkaian dan belajar daripada satu sama lain.

    Ia juga bertujuan untuk mengulas isu-isu semasa berkaitan tenaga manusia dan strategi organisasi masing-masing untuk membangun sumber tenaga manusia.

    Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam ucapannya antara lain menjelaskan mengenai fungsi ahli-ahli profesional sumber tenaga manusia sebagai rakan strategik bagi jabatan-jabatan dalam sesebuah organisasi, yang berperanan untuk mendorong pembangunan modal insan bagi organisasi tersebut.

    Beliau juga menggalakkan ahli-ahli profesional tenaga manusia untuk sentiasa meningkatkan kepakaran mereka seiring dengan perkembangan organisasi, terutamanya dalam berhadapan dengan norma baharu.

    Antara ahli profesional yang menyertai HR Retreat anjuran BILIF secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan BILIF

    Acara tersebut diikuti dengan pembentangan bertajuk Engaging the Post-Pandemic Workforce in a Hybrid Work Environment yang telah disampaikan oleh Ketua Bakat dan Transformasi, Modal Insan, PwC Malaysia, Michelle Lee.

    Beliau mengongsikan pe-ngalaman PwC Malaysia dalam menangani cabaran-cabaran yang disebabkan oleh COVID-19 serta menekankan peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli profesional tenaga manusia dalam memberi sokongan kepada para kakitangan sejurus kemasukan ke Fasa Endemik di kebanyakan negara.

    Acara diteruskan lagi dengan pembentangan bertajuk Enabling HR for the Next Gen Employee Experience oleh Rakan dan Pengurus Negara, Kincentric Malaysia, Ridhima Khanduja.

    Beliau telah menyentuh mengenai trend terkini berkaitan pengalaman pekerja dan seterusnya implikasinya terhadap peranan dan kemahiran yang diperlukan oleh ahli-ahli profesional tenaga manusia.

    Pada acara itu, BILIF turut mengongsikan mengenai program-program dan pensijilan bagi 2022 termasuk acara HR Symposium yang akan dianjurkan pada 24 Mei depan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...