Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    HRCF bangunkan tenaga kerja dinamik

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, telah melancarkan Rangka Kerja Kompetensi Sumber Manusia (HRCF) yang diwujudkan sebagai mekanisme pembangunan strategik sumber manusia untuk Jabatan Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Autoriti Petroleum dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).

    Ia adalah bagi membantu pertumbuhan kapasiti dan kompetensi tenaga kerjanya selaras dengan pembangunan sektor tenaga.

    Hadir menyempurnakan pelancaran rangka kerja pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas ialah Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, pengarah-pengarah pentadbiran, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai daripada sektor awam.

    Pelancaran rangka kerja berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada acara Minggu Tenaga di Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa melancarkan Rangka Kerja Kompetensi Sumber Manusia pada majlis yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Dayang Siti Norashikin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran HRCF berkenaan.

    Pengarah Korporat dan Sumber Manusia, Jabatan Tenaga, JPM, Dayang Siti Norashikin binti Mohd Salleh dalam ucapannya berkata, HRCF merupakan satu inisiatif di bawah bakat dan tenaga manusia, di mana ia berada di bawah Objektif Strategik 8, Pelan Strategik Jabatan 2020-2025 iaitu kecemerlangan organisasi.

    Jelasnya, ia bermatlamat untuk membangunkan tenaga kerja dinamik dengan keupayaan yang tetap supaya mereka dapat menyesuaikan diri kepada cabaran-cabaran.

    Beliau menambah bahawa rangka kerja itu merupakan sebuah alat berstruktur untuk membina kemahiran dan membangunkan kakitangan merangkumi empat teras kompetensi termasuk kepimpinan, pengurusan atau kemahiran fungsi, kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar serta kemahiran teknikal.

    Dayang Siti Norashikin menekankan bahawa seperti mana-mana inisiatif penting yang lain, kita harus meletakkan sumber manusia sebagai satu daripada keutamaan dengan sumber manusia merupakan peneraju kejayaan untuk mencapai matlamat dalam Wawasan Brunei 2035.

    Dengan mentakrifkan piawaian prestasi pada tahap kompetensi yang diperlukan, rangka kerja itu berfungsi untuk menutup sebarang jurang kompetensi melalui penyediaan pembelajaran dan pembangunan strategik yang merangkumi pembelajaran sambil bekerja (on-the-job) dan melalui pembelajaran pengalaman (experiential learning), pembelajaran daripada perkongsian pengetahuan dan pengalaman serta program kursus yang dihadiri.

    Melalui rangka kerja itu, ia membolehkan kakitangan melakukan penyelarasan penilaian kecekapan mereka sendiri dan seterusnya, memulakan peluang pembangunan mereka.

    Setiap individu akan menjalani penilaian awal tiga peringkat dalam proses rangka kerja iaitu penilaian kendiri, perbincangan dengan penyelia dan seterusnya persetujuan kedua pihak dengan program serta aktiviti pembangunan dan pembelajaran.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...