Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    HRW desak mansuh PTA

    COLOMBO, 29 Jan – Kerajaan Sri Lanka masih menggunakan undang-undang antikeganasan zalim yang membuatkan pihak polis mempunyai kekebalan untuk menahan dan menangkap suspek meskipun kerajaan berjanji untuk memansuhkannya, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) hari ini.

    Akta Pencegahan Keganasan (PTA) memberi kebenaran bagi penahanan suspek untuk jangka masa yang lama tanpa sebarang proses perbicaraan dan digunakan secara meluas ketika perang saudara yang berakhir tahun 2009.

    Pihak kerajaan pimpinan Presiden Maithripala Sirisena telah berjanji untuk memansuhkan undang-undang berkenaan ketika memenangi pilihan raya presiden pada 2015, akan tetapi telah gagal untuk memenuhinya.

    “Kerajaan Sri Lanka hanya tahu bercakap dan tidak pernah bertindak untuk memansuhkan PTA. Menggantikan undang-undang antikeganasan yang kejam ini dengan undang-undang yang menepati piawaian antarabangsa seharusnya menjadi keutamaan segera sekiranya kerajaan serius terhadap melindungi hak asasi kemanusiaan,” menurut pengarah bagi HRW Asia, Brad Adams.

    Gambar fail pada 3 Oktober 2017 menunjukkan Presiden Sri Lanka (kiri) dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe (kanan) ketika berucap semasa sesi khas parlimen kebangsaan di Colombo. – AFP

    Kumpulan itu telah mengeluarkan laporan terbaru yang terperinci terhadap dakwaan penganiayaan di bawah akta berkenaan.

    Menurut kerajaan Sri Lanka, kira-kira 80 orang masih ditahan di bawah undang-undang berkenaan, akan tetapi aktivis hak asasi kemanusiaan mempercayai jumlah berkenaan mampu mencapai ratusan.

    Kumpulan HRW telah mendapati PTA menjadi ‘faktor penyumbang penting’ terhadap penganiayaan yang berlarutan hampir satu dekad selepas tamatnya perang saudara di Sri Lanka.

    Dokumen berhalaman 46 muka surat, melaporkan penganiayaan yang dilakukan di bawah PTA, termasuklah penyeksaan dan gangguan seksual, pengakuan paksa dan penafian terhadap proses yang bersistematik dengan sewajarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda