KUALA LUMPUR, 9 Jan – HSBC Bank (China) Company Ltd (HSBC) melancarkan penyelesaian mudah alih baru iaitu perkhidmatan kutipan pelbagai saluran untuk membantu syarikat multinasional dan domestik memanfaatkan e-dompet pengguna China bagi pembayaran ke atas barangan dan perkhidmatan.
Dalam kenyataan hari ini, HSBC berkata penyelesaian itu, yang beroperasi di semua saluran digital utama, membolehkan peruncit di China mengutip bayaran daripada pelanggan yang menggunakanpelbagai e-dompet seperti Alipay, WeChat Pay, Apple Pay dan UnionPay.
“Perkhidmatan itu boleh digunakan di pelbagai terminal jualan, termasuk laman web e-dagang, saluran media sosial dan transaksi dalaman kedai.
“Produk digital tersebut turut disepadukan dengan rangkaian kad China UnionPay sedia ada dan antara muka perbankan Internet, sekali gus menjadikanya perkhidmatan kutipan menyeluruh,” menurut HSBC.
Merujuk bank pusat China, HSBC berkata nilai pembayaran secara mudah alih melonjak kepada 46 peratus kepada AS$23.8 trilion pada 2016 berbanding 2015. – Bernama