Huawei bekal teknologi 5G untuk hospital

BEIJING, 2 NOV – Huawei Technologies Co di China akan menyediakan perkhidmatan pintar dan teknologi 5G kepada industri seperti penjagaan kesihatan, mewujudkan aliran pendapatan baharu yang mungkin menghapus kesan teruk ke atas perniagaan telefon pintar akibat sekatan Amerika Syarikat (AS).

Di bandar selatan Guangzhou, syarikat itu bergabung dengan Hospital Besar Wilayah Guangdong untuk melengkapinya dengan teknologi 5G dan lebih daripada 10,000 peranti pintar yang boleh mengumpul dan menghantar data kesihatan masa sebenar daripada pesakit kepada doktor dan jururawat untuk mempertingkat penjagaan pesakit. 5G merupakan teknologi wayarles amat laju yang tidak mempunyai jeda waktu dan boleh menyokong sejumlah besar peranti pintar yang disambung kepada internet serentak. Teknologi utama sekarang, 4G, adalah lebih perlahan untuk menghantar data dan hanya menyokong beberapa peranti.

Huawei ialah pembekal terbesar peralatan teknologi 5G di dunia, walaupun ia disekat di AS dan beberapa pasaran utama lain. Pada tahun lalu, ia juga salah satu pembuat telefon pintar terbesar dunia, mengatasi pengeluar Korea Selatan Samsung.

Namun sekatan yang dikenakan oleh Washington telah menghalang Huawei daripada memperoleh cip komputer yang diperlukan untuk telefon pintar. Bulan lalu, syarikat meramalkan pendapatan telefon pintarnya mungkin merosot sebanyak AS$40 bilion – atau kira-kira 80 peratus – pada tahun ini. – AP

Presiden Hospital Besar Wilayah Guangdong, Tian Junzhang bercakap di depan skrin monitor pusat data awan hospital di Guangzhou, selatan wilayah Guangdong, China. – AP