Huawei henti pengeluaran cip telefon pintar

BEIJING, 9 OGOS – Syarikat telekomunikasi China Huawei mengatakan pengeluaran cip telefon pintarnya akan dihentikan pada bulan September berikutan dengan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), sekali gus telah menyebabkan ‘kerugian besar’.

Huawei – pengeluar peralatan rangkaian telekomunikasi terbesar di dunia – telah menjadi topik utama dalam ketegangan geopolitik antara Beijing dan Washington, yang mendakwa syarikat itu menimbulkan ancaman keselamatan siber yang ketara.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Yu Chengdong memberitahu forum industri teknologi pada Jumaat bahawa pengeluaran set cip Kirin 9000 akan dihentikan dari 15 September akibat sekatan AS.

Washington menyekat akses Huawei kepada komponen dan teknologi AS termasuk muzik Google dan perkhidmatan telefon pintar lain tahun lalu.

Sekatan tersebut diperketat pada bulan Mei ketika Rumah Putih melarang vendor di seluruh dunia menggunakan teknologi AS untuk menghasilkan komponen untuk Huawei.

Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. (TSMC) yang membuat cip Kirin 9000 menggunakan peralatan AS telah berhenti menerima pesanan dari Huawei sejak Mei.

Huawei tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan cip yang digunakan pada telefon pintar kelas atasnya. – AFP

Gambar fail pada 31 Oktober 2019 menunjukkan seorang lelaki yang menggunakan telefon pintarnya ketika berdiri berhampiran papan iklan syarikat teknologi China Huawei di PT Expo di Beijing. – AP