Huawei komited percepatkan transformasi digital

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Huawei komited untuk membolehkan digital diakses oleh setiap orang, rumah dan organisasi, supaya dapat membina dunia yang berhubung sepenuhnya, pintar dan inklusif.

Komitmen itu ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Kevin Zhang Jianwei semasa pembentangannya dalam Bengkel Transformasi Digital ICT kendalian Huawei Technologies sebagai sebahagian daripada Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (MYCE) kelmarin.

Transformasi Digital merupakan topik utama pada Brunei MYCE 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pada acara tersebut, Huawei Technologies (B) menekankan tiga bidang yang akan mempercepatkan transformasi digital yang meliputi sambungan berdensiti tinggi, pengkomputeran berkapasiti tinggi, dan pelepasan karbon yang lebih rendah.

Kevin Zhang Jianwei berkata, mereka teruja untuk menjadi sebahagian daripada MYCE, bukan sahaja untuk mempamerkan penyelesaian, tetapi untuk menunjukkan komitmen mereka bagi membantu Brunei berubah ketika negara bergerak ke arah pemulihan ekonomi.

“Selain infrastruktur rangkaian dan peranti pintar, kami juga akan mempamerkan penyelesaian perniagaan mampan bagi industri yang menghendaki pendigitalan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, semasa berucap pada acara berkenaan.