Huawei kurangkan lebih 600 pekerja di AS

SHANGHAI, 23 JULAI – Gergasi telekomunikasi China, Huawei hari ini mengatakan bahawa lebih 600 pekerjaan akan dikurangkan di unit AS akibat ‘kekangan operasi perniagaan’ kerana sekatan Washington ke atas firma tersebut dan 68 subsidiarinya.

Pemecatan akan dibuat di bahagian penyelidikan dan pembangunan berpangkalan di AS, Futurewei Technologies yang diperbadankan di Texas, menurut satu kenyataan e-mel dari Huawei.

Futurewei menggaji lebih daripada 750 orang, menurut maklumat pangkalan data korporat Bloomberg.

“Keputusan seperti ini tidak pernah mudah. Pekerja yang layak akan ditawarkan pakej pecahan pampasan termasuk gaji dan faedah,” menurut kenyataan itu.

Pentadbiran Trump sudah pun meletakkan Huawei dalam Senarai Entiti, bermakna syarikat-syarikat AS memerlukan lesen untuk membekalkannya dengan teknologi AS.

Huawei, pemimpin dalam generasi seterusnya teknologi wayarles 5G masih diharamkan daripada memajukan rangkaian 5G di Amerika Syarikat dan pentadbiran Trump mengatakan ia akan cuba meyakinkan sekutunya untuk mengikut jejaknya. – AFP

Gambar fail logo Huawei di sebuah kedai runcit di Beijing. Huawei kelmarin menjelaskan akan melepaskan lebih 600 jawatan di sebuah unitnya di Amerika Syarikat akibat sekatan yang dikenakan AS. – AFP