Huawei sambung semula pengeluaran

MOSCOW, 3 FEB – Gergasi teknologi China, Huawei pada hari ini menyambung semula pengeluaran peralatan telekom dan elektronik meskipun kebanyakan negeri masih di bawah kawalan ketat ekoran wabak koronavirus, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan media. Kerajaan memutuskan beberapa industri kritikal boleh meneruskan operasi mereka, walaupun langkah penutupan masih berkuat kuasa di lebih separuh wilayah China, lapor CNBC. Hampir 40 juta orang dilaporkan terjejas disebabkan penutupan dan kuarantin –  dilaksana oleh kerajaan sebagai langkah pencegahan – untuk mengekang penyebaran koronavirus, yang setakat ini membunuh lebih 360 orang. Pada hari ini, tiga indeks bursa saham utama China dibuka dengan penurunan yang ketara susulan kebimbangan terhadap virus berkenaan. – Bernama