Huawei tidak gentar – Pengasas

BEIJING, 19 Mei – Syarikat gergasi telekom China, Huawei bersedia untuk menangani tindakan keras Washington dan akan mengurangkan kebergantungannya terhadap komponan-komponan Amerika Syarikat (AS), kata pengasasnya kepada media Jepun.

Presiden Donald Trump mengharamkan Huawei dari pasaran AS Rabu lalu dan menambahnya dalam senarai yang mengehadkan penjualan AS kepada firma itu di tengah-tengah ketegangan perang perdagangan yang semakin meruncing dengan Beijing.

“Kami sudah bersedia bagi menghadapinya,” kata pengasas dan CEO Huawei, Ren Zhengfei kepada sekumpulan wartawan Jepun semalam, dalam temu bual pertamanya sejak tindakan Trump itu.

Ren berkata Huawei akan terus memajukan komponannya sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.

Huawei berkembang dengan pantas sebagai pemimpin dalam teknologi 5G tetapi tetap bergantung pada bekalan asing.

Gambar fail yang diambil pada 15 Mei 2019 menunjukkan seorang kakitangan di Pusat Persidangan Eksekutif Beijing Huawei, China. – AFP

Ia telah membeli komponan-komponan yang bernilai kira-kira AS$67 bilion setiap tahun, termasuk AS$11 bilion dari pembekal AS, menurut The Nikkei.

Ren, 74, yang jarang sekali muncul, telah keluar dari bayangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menangani tekanan yang semakin meningkat terhadap syarikatnya.

Latar belakang tentera Ren dan budaya samar-samar Huawei telah mencetuskan keraguan bagi beberapa buah negara bahawa negara itu dikaitkan dengan ketenteraan dan perkhidmatan risikan China.

Huawei juga menjadi sasaran kempen hebat oleh Washington, yang cuba memujuk sekutunya untuk tidak membenarkan China mempunyai peranan dalam membina rangkaian 5G.

Agensi-agensi kerajaan AS sudah diharamkan dari membeli sebarang kelengkapan dari Huawei.

“Kami tidak melakukan apa-apa yang telah melanggarkan undang-undang,” kata Ren, dengan menambah bahawa tindakan AS hanya memberikan impak yang terhad. – AFP