BEIJING, 6 FEB – Syarikat gergasi teknologi China Huawei menuduh syarikat telefon Amerika Syarikat (AS) Verizon mencabul patennya dalam satu tindakan guaman yang difailkan hari ini, sekali gus meluaskan usaha untuk mempertahankan perniagaan syarikat di AS di tengah sekatan kerajaan.
Huawei Technoligies Ltd menuduh Verizon Communications Inc mencabul 12 paten mengenai penyiaran optik, komunikasi digital dan teknologi lain, menurut satu salinan tindakan guaman yang dikeluarkan oleh syarikat. Huawei berkata ia memfail tindakan guaman selepas rundingan gagal menghasilkan satu perjanjian pelesenan.
Dalam kes berasingan, Huawei juga mencabar langkah kerajaan AS untuk mengehadkan aksesnya kepada pasaran Amerika berdasarkan sebab-sebab keselamatan. Tidak adanya tanda-tanda yang menunjukkan tindakan guaman hari ini mempunyai kaitan.
Tindakan guaman itu meminta mahkamah persekutuan AS di Waco, Texas, supaya memberikan bayaran pampasan dan bayaran pelesenan.
Huawei, jenama telefon pintar global nombor dua dan pengeluar terbesar peralatan rangkaian untuk syarikat telefon, menafi dakwaan AS ia mungkin menimbulkan risiko keselamatan atau membantu pengintipan China.
Sekatan yang dikenakan oleh pentadbiran Trump pada Mei menyekat akses Huawei kepada kebanyakan komponen teknologi AS. Syarikat berkata ia telah mengganti kebanyakan teknologi Amerika dalam produk utama-nya. – AP




























