Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Hubungan Brunei-China berkembang pesat

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Hubungan mesra yang terjalin sekian lama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah menyaksikan peningkatan pelaburan China dan peningkatan perdagangan dua hala dalam bidang-bidang berkepentingan bersama di mana ia telah menyumbang kepada transformasi dan pemba-ngunan ekonomi Brunei.

    Pada 2021, perdagangan keseluruhan antara Brunei dan China tumbuh sebanyak 56 peratus berbanding 2020 di mana ia menjadikan China sebagai rakan perdagangan kedua terbesar dan sumber pelaburan asing terbesar di Brunei.

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid ketika menyampaikan ucapan semasa Forum Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi Brunei-China pada 3 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, di sini, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin dipetik berkata bahawa Brunei amat dikenali bagi persekitaran semula jadi dan perniagaan yang stabil.

    Beliau turut menyatakan, untuk mempelbagaikan ekonominya, Brunei menggalakkan pelaburan asing dalam industri pertanian dan akuakultur, industri hiliran minyak dan gas, industri makanan, teknologi komunikasi dan maklumat serta industri pelancongan.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyampaikan ucapan pada forum yang berlangsung secara dalam talian pada 3 Ogos lalu.
    PYT Yu Hong menyampaikan ucapannya semasa forum tersebut.

    Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat China untuk melabur di Brunei bagi mengembangkan lagi kerjasama perdagangan dan ekonomi dua hala serta membantu mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.

    Terdahulu semasa forum itu, Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dalam ucapannya menyatakan bahawa sejak penubuhan hubu-ngan diplomatik antara China dan Brunei, hubungan di antara kedua-dua buah negara telah berkembang secara pesat dan sihat sepanjang 30 tahun kebelakangan ini.

    Kepercayaan politik bersama, tambahnya, telah mengukuhkan lagi pembangunan kerjasama strategik China-Brunei. Kerjasama pragmatik antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang juga telah diperkasa di mana ia membawa manfaat kepada penduduk kedua-dua belah pihak.

    Forum yang dianjurkan oleh Persatuan Perusahaan China di Brunei dan Bank of China (Hong Kong) Cawangan Brunei itu bermatlamat untuk mempromosikan pelaburan dan perdagangan dua hala Brunei-China di mana ia dihadiri oleh lebih 150 orang peserta terdiri dari dewan-dewan perniagaan, persatuan-persatuan, bank-bank, institusi pengajian tinggi serta perusahaan tempatan dan China secara dalam talian.

    Forum itu mengetengahkan tiga tema dengan sesi pertama mengetengahkan mengenai keadaan makroekonomi pada masa ini, sesi kedua mengetengahkan mengenai kerjasama ekonomi serantau dan sesi ketiga mengetengahkan mengenai perdagangan dua hala Brunei-China.

    Semasa sesi soal dan jawab, para peserta secara aktif mengemukakan persoalan mengenai pembangunan ekonomi digital di Brunei, prospek pembangunan ekonomi Brunei dan China, prospek perdagangan dan ekonomi dua hala Brunei-China dan pera-nan RCEP dalam mempromosikan pengantarabangsaan RMB.

    Semasa forum berkenan, para peserta menyatakan keyakinan mereka dalam pembangunan ekonomi dan perdagangan dua hala Brunei-China serta prospek kerjasama ekonomi serantau.

    Kejayaan forum ekonomi dan perdagangan itu menyediakan asas yang baik bagi pembangunan hubungan perdagangan dan ekonomi di antara kedua-dua buah negara serta akan membantu dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...