Hubungan Brunei-China terus diperkukuh

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kerajaan Brunei Darussalam menghargai penglibatan aktif syarikat-syarikat China dalam pembangunan infrastruktur di negara ini dan menyediakan hubungan kepada Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China.

Kesemua itu, telah menubuhkan tiang hubungan di antara Brunei dan China serta merakamkan perasaan gembira terhadap ikatan kuat antara dua negara yang dikekalkan oleh pertukaran rakyat yang aktif di kedua-dua buah negara.

Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri semasa Majlis Resepsi Secara Maya bagi Meraikan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China ke-30 dan Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-72, hari ini.

Selain itu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dalam sabdanya turut mengimbas pengalaman semasa lawatan ke China dengan berkongsi kenangan indah semasa lawatan-lawatan itu seperti pada 2016 ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Bersama bagi Memperingati Ulang tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China ke-25.

Ia merupakan majlis yang dianjurkan bersama oleh Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Beijing dan Chinese People’s Association for Friendship with Foreign Countries.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berkenan bersabda pada majlis resepsi yang diadakan secara maya, kelmarin.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menghadiri Majlis Meraikan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China ke-30 dan Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-72, yang diadakan secara maya, kelmarin.

Sejak 1991, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersabda bahawa pemimpin kedua-dua buah negara telah bekerjasama rapat untuk meletakkan asas yang kukuh bagi hubungan kita, yang berasaskan kepada saling hormat-menghormati, kepercayaan dan hidup berdampingan secara aman.

Ini dapat disaksikan dalam pertukaran lawatan yang kerap seperti keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke China pada 2017 dan lawatan Presiden Xi Jinping ke Brunei pada 2018.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna seterusnya merakamkan perasaan nilai yang mendalam hubungan mesra dan tradisional yang dinikmati di semua peringkat di mana ia terus berkembang daripada interaksi yang luas di antara rakyat kedua-dua buah negara.

Peningkatan hubungan kedua-dua buah negara kepada hubungan kerjasama strategik pada 2013 dan kemudiannya kepada rakan kongsi kerjasama strategik pada 2018 terus memperkukuhkan lagi hubungan yang saling menguntungkan kedua-dua buah negara.

Yang Teramat Mulia seterusnya menyentuh mengenai hubungan dua hala yang kukuh di antara kedua-dua buah negara di mana hubungan itu telah berkembang maju dalam bidang-bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian dan perikanan, infrastruktur dan pertukaran rakyat kedua-dua buah negara.

Sebagai sebuah rakan kongsi perdagangan yang penting, Yang Teramat Mulia bersabda China telah menubuhkan usaha sama-usaha sama dalam hiliran minyak dan gas, perkhidmatan perbankan dan pengurusan pelabuhan.

Mengenai bantuan dan sokongan COVID-19, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersabda dari permulaannya, Brunei dan China telah terus menyokong satu sama lain dalam usaha global menentang COVID-19.

Rakyat Negara Brunei Darussalam bersatu dalam melahirkan penghargaan bagi penghantaran 100,000 dos vaksin Sinopharm baru-baru ini serta juga bagi makmal virologi, yang telah membantu untuk meningkatkan kapasiti ujian dalam masa yang mencabar ini.

Yang Teramat Mulia percaya bahawa gerak hati yang baik itu mencerminkan persahabatan yang lama yang akan dikongsi di antara kedua-dua buah negara bagi generasi-generasi yang akan datang.

Pada tahun ini, sabda Yang Teramat Mulia, adalah amat istimewa dimana kita memperingati Ulang Tahun Hubungan Dialog ASEAN-China Ke-30.