Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Hubungan baik di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Indonesia telah membolehkan banyak kemajuan dicapai dalam hubungan dua hala di pelbagai bidang yang penting.
Dalam pada itu, satu Majlis Resepsi sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-77 tahun telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, malam tadi.
Hadir mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri.
Pada majlis itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko dan isteri menyentuh mengenai hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Brunei dan Indonesia yang semakin rapat khususnya dalam bidang diplomatik, perdagangan, pendidikan, politik, sekuriti, pertahanan dan banyak lagi.
Tuan Yang Terutama juga menyentuh mengenai hubungan perdagangan, kedua buah negara yang telah menyaksikan peningkatan pada kadar perdagangan iaitu daripada AS$204.3 juta pada tahun 2020, kepada AS$374.2 juta pada tahun lepas. Duta Besar Republik Indonesia juga berharap hubungan kedua negara, terutama dalam bidang perdagangan akan terus erat dan kukuh.
Tuan Yang Terutama seterusnya menyentuh mengenai dengan persahabatan dan kerjasama yang berkembang di antara kedua-dua buah negara sejak beberapa tahun kebelakangan, ditambah lagi dengan beberapa pertukaran lawatan di antara Negara Brunei Darussalam dengan Indonesia, baik di peringkat rasmi dan tidak rasmi yang mampu mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara.
Majlis diteruskan dengan acara memotong kek dan persembahan Tarian Pendet dan beberapa persembahan tarian lain seperti tarian Gunung Sari, Pakarena, Piring, Merak dan persembahan Musik Angklung bagi memeriahkan lagi majlis.