Hubungan Brunei-Finland terus kukuh

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Finland terus erat dan diperkukuhkan di mana kedua-dua negara meletakkan keutamaan kepada meningkatkan lagi kerjasama dua hala
berkenaan.

Pada masa yang sama, pelbagai bidang kerjasama baharu dapat diterokai antara kedua-dua buah negara berkenaan di mana bidang pendidikan merupakan satu bidang yang berpotensi besar untuk dikembangkan.

“Terdapat minat dan keinginan bersama untuk melihat terhadap kemungkinan bagi menerokai kerjasama dalam bidang berkenaan,” jelas Duta Besar Finland ke Negara Brunei Darussalam yang tidak menetap, Tuan Yang Terutama Petri Puhakka dalam ucapannya pada Majlis Memperkenalkan Konsul Kehormat Finland yang baru dilantik dan Penyampaian Anugerah Kehormatan bagi Perkhidmatan Lama kepada Dato Lim Beng Thai sebagai konsul kehormat Finland di Brunei Darussalam yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ong Tiong Oh, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, Dato Lim Beng Thai, perwakilan dari negara-negara sahabat serta para jemputan khas.

TYT Petri Puhakka terdahulu dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Dato Lim Beng Thai atas perkhidmatannya yang cemerlang selama lebih 26 tahun sebagai konsul kehormat Finland di Negara Brunei Darussalam.

Pada masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan Konsul Kehormat Finland di Negara Brunei Darussalam yang baharu iaitu Lim Jin Yong dan percaya bahawa beliau akan menjalankan tugasnya dengan penuh komitmen serta akan berusaha untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Brunei dan Finland.

TYT Petri Puhakka menyampaikan Anugerah Kehormatan bagi Perkhidmatan Lama kepada Dato Lim Beng Thai.