Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Hubungan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Kanada diperkukuhkan dengan kunjungan Ketua Pengarah Asia Tenggara, ASEAN dan APEC – Hal Ehwal Global Kanada, J. Ian Burchett yang pertama kali ke negara ini.
Lawatan berkenaan adalah bagi membincangkan mengenai kolaborasi serta persahabatan antara kedua-dua buah negara antara Brunei dan Kanada serta isu-isu serantau lainnya.
Dalam sesi temu bual bersama pihak media di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam, Bangunan Jalan McArthur, di ibu negara, beliau telah sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran akan hubungan serta usaha-usaha yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak dalam memperkukuhkan hubungan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pendidikan.
Beliau turut melahirkan harapan agar dapat bersama-sama membantu dalam usaha mengatasi isu-isu yang berbangkit di rantau ini seperti krisis di Rohingya yang mana kedua-dua buah negara (Brunei dan Kanada) sama-sama menyatakan kebimbangan.
Kanada dan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berusaha dalam mencari titik keserasian bagi kedua-dua belah pihak dalam apa saja bidang yang dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala.
“Ia merupakan satu penghormatan bagi saya kerana berpeluang mengalu-alukan keberangkatan rombongan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan ke Kanada tahun lalu,” ujar J. Ian Burchett lagi.
Menurut beliau lagi, memandangkan Brunei juga dikelilingi air seperti Kanada, mereka menyasarkan untuk berkongsi maklumat dalam bidang ICT dan Blue Economy bagi membantu kedua-dua buah negara dalam mencari jalan penyelesaian bagi isu masalah air.
Turut hadir pada sesi temu bual itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caterina Ventura dan Duta Besar Kanada ke ASEAN, Puan Yang Terutama Marie-Louise Hannan yang sedang mengadakan lawatan selama dua hari ke negara ini untuk bertemu pegawai-pegawai utama kerajaan, pemimpin perniagaan terkemuka dan pelabur Kanada di Brunei Darussalam. PYT Caterina Ventura turut mengongsikan bahawa Kanada turut memberi tumpuan ke atas kerjasama pendidikan dengan Brunei kerana menurutnya, pendidikan adalah asas kejayaan bagi semua sektor.
PYT Caterina Ventura berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama antara institusi pendidikan di Kanada dengan institusi tempatan di Brunei dan percaya bahawa kerjasama berkenaan akan menggalakkan aktiviti keusahawanan pada masa depan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam akan mengadakan satu acara bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2018 bertema ‘Press for Progress’ yang akan mengetengahkan isu mengenai keterlibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan pendidikan.