Oleh Syahmi Hasan –
VIENTIANE, LAOS, 4 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyuarakan kekaguman terhadap pembangunan pesat Laos sejak Keberangkatan Negara Baginda pada tahun 1998, Sidang Kemuncak ASEM 2012 dan Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane pada 2016.
Baginda menyatakan Laos telah muncul sebagai salah sebuah negara ekonomi di Asia Tenggara yang paling cepat berkembang dengan peralihan dari land-locked ke land-linked.
Sehubungan itu, Baginda bertitah peningkatan hubungan kepada perkongsian strategik adalah sangat tepat pada masanya dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan antara kedua-dua buah negara termasuk usaha sama dalam bidang pertanian dan kerjasama tenaga, peningkatan kapasiti perindustrian tempatan Brunei serta menjamin keselamatan makanan dan tenaga.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara semalam yang dihoskan oleh Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith sempena Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Laos.
Berangkat mengiringi Baginda Sultan pada majlis yang berlangsung di Istana Presiden Hor Kham, Vientiane ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Laos.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis itu turut mengumumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menganugerahkan dua biasiswa tahunan kepada penuntut Laos bagi meneruskan pengajian tinggi di Brunei bermula tahun 2024.
Baginda juga menyatakan sokongan terhadap Laos selaku Pengerusi ASEAN, sambil menambah Visit Laos 2024 akan memberikan peluang kepada para pelawat untuk menikmati suasana negara tersebut.
Oleh itu, Baginda berharap untuk bekerjasama lebih rapat dengan Laos dalam usaha membina komuniti ASEAN ke arah wawasan 2025 dan merumuskan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Pada mengakhiri titah, Baginda Sultan mendoakan kejayaan, kemajuan dan kemakmuran yang berterusan bagi kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Rakyat Laos.
Terdahulu sebelum itu, Tuan Yang Terutama semasa menyampaikan ucapan mengalu-alukan keberangkatan Baginda dan delegasi ke ne-gara berkenaan dan seterusnya menekankan perbincangan dua hala yang telah diadakan adalah bertujuan untuk mengukuhkan hubu-ngan akrab antara kedua-dua buah negara serta rakyat.
Selain itu, Tuan Yang Terutama menyatakan rasa puas hati dengan kerjasama yang baik sepanjang 30 tahun ini yang menuju ke arah pengumuman penubuhan Perkongsian Strategik dan menyatakan penghargaan atas sokongan dan bantuan Negara Brunei Darussalam yang berterusan kepada Laos.
Sebelum berangkat balik dari Istana Presiden, Baginda Sultan disembahkan dengan ucapan selamat berangkat oleh TYT Presiden Laos.