Hubungan Brunei, Malaysia kekal erat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus kekal erat dan diperkukuhkan lagi di peringkat kerajaan dan penduduk kedua-dua buah negara.

Pada masa yang sama, kedua-dua buah negara mempunyai banyak persamaan dan menikmati hubungan yang erat di peringkat dua hala, ASEAN, serantau dan pelbagai hala yang mana dalam lawatan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad ke Negara Brunei Darussalam pada September lalu, beliau menyatakan bahawa prinsip kebersamaan merupakan kunci kepada hubungan kukuh antara Brunei dan Malaysia.
Perkara itu dinyatakan oleh Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Rafedah Abdul Aziz ketika berucap pada Majlis Resepsi Sempena Hari Kebangsaan ke-61 dan Hari Malaysia ke-55 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim.

Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kerajaan, para jemputan khas serta pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.

Rafedah menyatakan lagi bahawa Malaysia meletakkan keutamaan yang tinggi kepada hubungannya dengan Brunei, di mana Malaysia amat menghargai hubungan erat dan persaudaraan yang dinikmatinya dengan Brunei dalam semua aspek dengan perkembangan yang signifikan melalui pertukaran surat (EOL) dan memorandum persefahaman dalam pelbagai isu-isu dua hala.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menerima cenderahati yang disampaikan oleh Rafedah, kelmarin.
Rafedah semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Konsultasi Tahunan Pemimpin (ALC), jelasnya lagi, yang diadakan bergilir-gilir di Brunei dan Malaysia merupakan mekanisme peringkat tertinggi untuk membincangkan isu-isu dua hala dan pada masa yang sama untuk mengambil maklum mengenai hal ehwal semasa di antara kedua-dua buah negara.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas layanan mesra yang diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia serta rombongannya semasa lawatan rasmi ke Brunei baru-baru ini, serta memberikan kebenaran kepada warga Malaysia untuk berkhidmat dan menetap di Brunei, sebuah negara yang aman serta makmur.

Majlis diteruskan dengan acara memotong kek bersempena Hari Kebangsaan ke-61 dan Hari Malaysia ke-55 yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan isteri, Rafedah serta perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN sebagai menunjukkan semangat perpaduan antara negara-negara anggota ASEAN.

Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan serta isteri turut menerima cenderahati yang disampaikan oleh Rafedah.