Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Hubungan rapat dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Perancis tertubuh sejak seawal-awal kemerdekaan Brunei dan semakin erat terjalin melalui pembangunan dalam pelbagai sektor.
Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre dalam ucapannya pada Sambutan Hari Kebangsaan Perancis di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara, diikuti dengan ucapan oleh Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam.
Beliau kemudiannya mengongsikan bahawa pada awal penubuhan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara, Perancis telah menunjukkan minat yang kuat dalam penubuhan dan pembangunan hubungan ekonomi yang dinamik dan pelbagai.
Sebagai contoh dalam sektor tenaga, Tuan Yang Terutama mengongsikan Syarikat Total Energies telah menandatangani kontrak penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas utama di negara ini.
Beliau juga menekankan bahawa sejak 30 tahun lalu, kedua-dua buah negara telah bekerjasama dalam penubuhan dan pembangunan salah sebuah bank terpenting di Brunei iaitu Bank Baiduri.
“Dalam bidang pertahanan, MBDA telah membekalkan peluru berpandu Exocet dan Mistral kepada Tentera Laut Diraja Brunei dan kereta perisai kepada Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei. Selain itu, Perancis juga mengambil bahagian secara aktif dalam latihan kadet di Akademi Tentera Pertahanan dalam bidang maritim,” jelas Tuan Yang Terutama.
Menyentuh mengenai politik dan diplomatik, Tuan Yang Terutama menyifatkan kedua-dua negara telah memupuk hubungan di peringkat tertinggi selama beberapa dekad di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertemu dengan kesemua presiden Perancis selama lebih 40 tahun, dalam tetapan dua hala atau pelbagai hala.
“Pada bulan Mei lalu, delegasi terdiri daripada empat orang senator Perancis, diketuai oleh pengerusi Jawatankuasa Asia Tenggara, telah berada di Bandar Seri Begawan untuk rundingan dua hala,” tambahnya.
Tuan Yang Terutama seterusnya berkata bahawa pendekatan kedua-dua negara terhadap isu antarabangsa berada pada titik yang sama, dan kedua-dua perkhidmatan diplomatik berunding antara satu sama lain secara kerap dalam menghadapi cabaran, ketegangan dan ancaman yang semakin meningkat yang dihadapi oleh masyarakat antarabangsa.
“Dalam hal ini, tahun 2021 telah menyaksikan pengukuhan ketara hubungan antara Perancis dan ASEAN dengan penyertaan Perancis, di bawah kepengerusian Brunei, kepada Rakan Pembangunan ASEAN.
“Paris yang menganggap pemusatan ASEAN sebagai faktor penting dalam kestabilan Asia Tenggara, sedang membangunkan kerjasama dengan tujuan menawarkan latihan kepada diplomat muda dari negara anggota ASEAN,” kata beliau lagi.
Menyentuh mengenai isu Myanmar, beliau menjelaskan, “Perancis menghargai kepimpinan yang ditunjukkan oleh Brunei pada tahun 2021 dan keputusan yang dicapai yang menyediakan rangka kerja yang kukuh untuk pembangunan masa depan.
Sementara itu, Perancis juga berterima kasih kepada Brunei atas sokongan berterusannya kepada bidaan Perancis untuk Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus).
Majlis diteruskan dengan kemuncak acara iaitu pemotongan kek yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis bersama Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre, diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan sesi bergambar ramai.