Hubungan Brunei, UK terus diperkukuhkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Usaha dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam dalam menangani penularan pandemik COVID-19 mendapat pujian daripada United Kingdom (UK) dan kejayaan negara ini dalam mengawal penularan COVID-19 boleh menjadi contoh serta dipelajari.

“Negara Brunei Darussalam telah melakukan yang terbaik dan cemerlang dalam menangani COVID-19 di mana banyak yang boleh dipelajari daripada yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 49 hari tanpa kes baharu sejak ia bermula.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatannya, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay dalam temu bual dengan Media Permata mengenai pengalamannya sebagai pesuruhjaya tinggi British ke Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini.

Beliau berkata bahawa UK tidak ketinggalan turut terkesan oleh penularan pandemik COVID-19 dan pada masa ini, sedang berusaha untuk memulihkan keadaan ekonomi serta bergerak ke hadapan untuk membangun dengan lebih baik.

“Kami amat berminat untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di seluruh negara untuk membina ekonomi rendah karbon bagi masa hadapan,” ujarnya.

TYT Richard Lindsay menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom akan terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang erat dan kukuh.

Beliau menerangkan lanjut bahawa dengan Negara Brunei Darussalam akan menjadi pengerusi ASEAN pada 2021 dan UK akan menjadi hos bagi Persidangan Perubahan Iklim pada November 2021, UK berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Brunei dalam mencari kaedah untuk bergerak menuju ke arah ekonomi rendah karbon di mana kita akan melindungi alam sekitar serta mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Sementara itu, menyentuh mengenai Brexit, TYT Richard Lindsay menjelaskan bahawa hubungan persahabatan yang erat dan kerjasama dua hala yang kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan UK tidak akan terjejas berikutan dengan Brexit di mana UK secara rasminya akan berundur daripada Kesatuan Eropah (EU).

Hubungan dua hala yang baik dan kukuh yang dinikmati oleh kedua-dua buah negara dipercayai akan terus diperkukuhkan serta bakal menyaksikan pelbagai usaha dilaksanakan untuk meningkatkan lagi bukan sahaja kerjasama dua hala tetapi juga perdagangan antara kedua-dua buah negara.

Beliau yakin bahawa Brunei dan UK akan terus menikmati hubungan persahabatan yang erat dan akan terus meneroka peluang-peluang kerjasama yang baharu dalam pelbagai bidang serta pada masa yang sama, mencari peluang pelaburan dan perdagangan yang bermanfaat bersama.

Beliau juga yakin hubungan dua hala dan kerjasama yang dinikmati bersama termasuk dalam bidang pertahanan dan pendidikan akan terus diperkukuhkan.

Mengulas mengenai kerjasama antara UK dan ASEAN, TYT Richard Lindsay berkata bahawa setelah meninggalkan EU, UK telah memohon untuk menjadi rakan dialog kepada ASEAN.

Beliau menerangkan bahawa UK dahulu merupakan rakan dialog ASEAN semasa menjadi ahli EU, tetapi kini UK sedang berusaha semula untuk menjadi rakan dialog dan beliau akui bahawa UK mempunyai hubungan kerjasama yang amat baik dan erat dengan semua negara anggota ASEAN di mana hubungan perdagangan dua hala antara UK dan ASEAN pada 2019 adalah kira-kira AS$50 bilion.

Beliau yakin bahawa jumlah berkenaan akan meningkat lagi khususnya dalam keadaan masa kini dan impak daripada penularan pandemik COVID-19 di mana penilaian International Monetary Fund (IMF) baru-baru ini, menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan salah satu kawasan yang paling kurang terjejas.

Dalam hubungan itu, UK amat berminat untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi serta mengeratkan lagi hubungan komuniti, sosiol dan politik.