Hubungan China-ASEAN kekal pemacu utama kemakmuran serantau

NANNING, 12 SEPT – Hubungan China-ASEAN melalui perkembangan selama tiga dekad, melakar kejayaan sekali gus menjadi contoh terbaik kepada kerjasama rantau Asia Pasifik dan pemacu utama kemakmuran Asia Timur.”

Penolong Menteri Perdagangan China, Ren Hongbin berkata China dan ASEAN menjadi rakan dagang terbesar dengan nilai dagangan menokok sebanyak 85 kali ganda sejak 30 tahun lalu sehingga kini.

“ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan serta sumber pelaburan langsung asing (FDI) utama China,” katanya pada forum kerjasama ekonomi dan perdagangan sempena 30 tahun hubungan dialog China-ASEAN, di sini pada Sabtu.

Jumlah keseluruhan pelaburan dua hala melepasi AS$310 bilion, manakala terdapat lebih 20 zon usaha sama ekonomi dan perdagangan berjaya dibangunkan.

Statistik rasmi menunjukkan import dan eksport China kepada ASEAN bagi Januari hingga Ogos naik 33.3 peratus kepada AS$553.9 bilion, menduduki 14.5 peratus daripada nilai keseluruhan dagangan luar China.

Beliau turut menyuarakan kesediaan China untuk terus mengintegrasikan strategi pembangunan dengan ASEAN dan menggerakkan lagi usaha sama melaksanakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) demi melonjakkan hubungan dagang dua hala ke tahap lebih tinggi. – Bernama