Hubungan dua hala ASEAN-UK terus dipererat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Mesyuarat Konsultasi Menteri-menteri Ekonomi ASEAN-United Kingdom (AEM-UK) yang diadakan buat kali pertama pada 15 September merupakan satu mercu tanda yang bersejarah dalam hubungan antara ASEAN dan United Kingdom.

Mesyuarat yang bermakna dan bersejarah itu telah dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Komuniti Ekonomi ASEAN 2021 dengan Bekas Setiausaha Negara bagi Perdagangan Antarabangsa, Elizabeth Truss MP di mana ia menekankan komitmen bersama untuk me-ningkatkan lagi perdagangan dua hala ASEAN-UK serta bagi pemulihan mapan, berdaya tahan dan inklusif daripada COVID-19.

Ia juga menekankan pentingnya bagi penjanaan pekerjaan dan kemakmuran bersama, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe ketika mengulas mengenai signifikan Mesyuarat Konsultasi AEM-UK yang diadakan pada 15 September lalu.

Beliau turut berkata mesyuarat itu telah mempersetujui bagi satu deklarasi bersama yang menetapkan bagi kolaborasi ekonomi yang lebih erat di mana Naib Pengerusi Majlis Perniagaan ASEAN-UK (UKABC), Patrick Nolan, menyampaikan usaha UKABC dalam membawa perniagaan-perniagaan UK ke ASEAN serta menyokong usaha pemulihan, kemapanan dan pendigitalan.

Di samping itu, TYT John Virgoe turut berkongsi bahawa Perdana Menteri UK, Tuan Yang Terutama Boris Johnson telah melakukan beberapa pelantikan anggota kerajaan baharu termasuk melantik Elizabeth Truss MP sebagai setiausaha negara bagi Hal Ehwal Luar, Komanwel dan Pembangunan manakala Anne-Marie Trevelyn MP kini, dilantik sebagai setiausaha negara bagi Perdagangan Antarabangsa.

Konsultasi AEM-UK kali pertama yang diadakan pada 15 September, merupakan mesyuarat kali pertama diadakan di antara ASEAN dan UK selepas UK mula menjadi rakan dialog ASEAN secara rasminya pada 5 Ogos 2021.

Mesyuarat mengambil maklum aktiviti-aktiviti yang diadakan di antara UK-ASEAN Business Council (UKABC) dan membincangkan mengenai perkembangan kerjasama ekonomi ASEAN-UK 2020-2021. Mesyuarat juga mengesahkan ASEAN-UK Joint Declaration on Future Economic Cooperation.

Mesyuarat itu mengalu-alukan penubuhan kerjasama Dialog ASEAN-UK di mana perdagangan dua hala di antara ASEAN dan UK adalah bernilai £33.8 bilion pada 2020 iaitu penurunan sebanyak 16.5 peratus sejak 2019, sebelum pandemik COVID-19.

Mesyuarat juga merakamkan komitmennya untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan lebih luas di mana ia mengenali bahawa sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, percuma, inklusif, telus, berasaskan peraturan dan tidak diskriminasi adalah asas pemulihan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan daripada COVID-19.