Hubungan dua hala terus dipererat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Suruhanjaya Republik Islam Pakistan di Negara Brunei Darussalam malam tadi meraikan Hari Kebangsaan Pakistan ke-73 tahun dengan majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan datin.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey dalam ucapan penghargaannya menyentuh mengenai hubungan dua hala yang telah lama terjalin di antara Pakistan dan Negara Brunei Darussalam.

Beliau berharap agar hubungan dua hala ini akan dapat diteruskan lagi dalam pelbagai aspek dan seterusnya bekerjasama untuk kebaikan kedua-dua buah negara pada masa akan datang. Selain itu, beliau juga berharap kedua-dua buah negara akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada dan sentiasa bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang.

Dengan sejarah yang lama dan cemerlang, Negara Brunei Darussalam jelasnya memiliki kestabilan dan kesinambungan kepada perubahan yang pesat di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah negara yang penting dalam tatanegara serantau. Terdahulu, majlis tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Pakistan. Majlis resepsi berkenaan turut dimeriahkan dengan acara memotong kek sempena Hari Kebangsaan Pakistan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat berserta isteri dan pemangku pesuruhjaya tinggi Republik Islam Pakistan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama isteri dan Ahmed Ali Sirohey ketika upacara memotong kek sempena Hari Kebangsaan Pakistan.