Hubungan dua Negara diperkukuh

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala dengan Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Moon Jae-in dan delegasi yang berlangsung di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, hari ini.

Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa lawatan negara TYT Moon Jae-in amat penting sempena meraikan Ulang Tahun ke-35 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea, dan juga sempena Negara Brunei Darussalam menjadi negara penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-R.O.K.

Baginda menyentuh tentang kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan, dan pertukaran antara masyarakat yang telah diperkembangkan sejak tertubuhnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. Ke arah mempelbagaikan ekonomi negara, Baginda mengalu-alukan inistiaf bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang strategik termasuk pembangunan kapasiti; teknologi; dan perkembangan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Titah Baginda, sumbangan syarikat-syarikat dari Republik Korea adalah dihargai dalam bidang kemajuan infrastruktur, pelancongan, tenaga, ICT dan pertukaran antara masyarakat khususnya kerjasama antara institusi pendidikan yang penting dalam mempersiapkan negara menghadapi cabaran yang dibawa oleh Revolusi Industri Keempat.

Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan untuk mencapai kesinambungan antara Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 dan New Southern Policy Republik Korea ke arah menjana usaha sama dalam mengukuhkan hubungan dua hala pada masa akan dating.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama TYT Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook di Istana Nurul Iman. – Gambar Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; YAM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam. – Infofoto
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bertukar-tukar dokumen perjanjian bersama TYT Sung Yunmo. – Infofoto

Bercakap mengenai ASEAN, TYT Moon Jae-in menekankan tentang komitmen berterusan Republik Korea untuk berkerjasama dengan ASEAN yang dilaksanakan dengan mengutamakan 3Ps – People, Prosperity, and Peace (Masyarakat, Kesejahteraan dan Keamanan).

Dalam pada itu, Baginda Sultan menghargai komitmen dan sumbangan Republik Korea kepada usaha-usaha yang dipimpin oleh ASEAN.

Negara Brunei Darussalam berbesar hati menjadi negara penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-R.O.K bagi tahun 2018-2021, serta mengalu-alukan Sidang Komemoratif bagi meraikan Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-R.O.K.

Selepas majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan majlis penandatanganan memo-randum persefahaman (MoU) di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan Republik Korea bersama TYT Moon Jae-in.

Penandatanganan Memorandum of Understanding on the Investment Promotion Cooperation disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga, TYT Sung Yunmo, bagi mewakili Republik Korea.

Penandatanganan MoU kedua adalah Memorandum of Understanding on the Recognition of the Korean Intellectual Property Office as an International Searching Authority and International Preliminary Examining Authority Under the Patent Cooperation Treaty for the Brunei Darussalam Intellectual Property Office, yang disempurnakan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Pesuruhjaya di Pejabat Harta Intelek Korea, Park Won-Joo, bagi Republik Korea.

Seterusnya penandatanganan Memorandum of Understanding on the Scientific and Technological Cooperation, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw, bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, PYT Yoon Hyun-bong, bagi Republik Korea.

Turut berkenan menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap TYT Moon Jae-in, dan isteri, Kim Jung-sook serta rombongan.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan TYT Moon Jae-in dan isteri di Istana Nurul Iman, dan seterusnya bersama-sama dengan TYT Moon Jae-in naik ke pentas khas untuk menerima Tabik Hormat disertai dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan 21 das tembakan meriam.

Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

TYT Moon Jae-in dan isteri kemudiannya diperkenalkan kepada kerabat diraja; Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan; serta ketua-ketua perwakilan asing berserta isteri masing-masing.

Kemudian, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan Presiden Republik Korea.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Menyertai bersama Presiden Republik Korea dan isteri ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, PYT Kang Kyung-wha; Menteri Kemajuan Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, PYT Kim Hyun-mee; Menteri Perdagangan, Industri dan Tenaga, TYT Sung Yunmo; Chief of Staff for Policy to the President, Kim Soo Hyun dan PYT Yoon Hyun-bong.

Turut hadir di majlis mengadap tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku menteri pengiring.

Sementara itu selepas majlis mengadap, isteri Presiden Korea mengadakan aturcara berasingan dengan Baginda Raja Isteri yang dimulakan dengan lawatan di perkarangan Istana Nurul Iman dan diikuti dengan majlis mengadap.

Turut berangkat ialah YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik; YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.