Hubungan ekonomi berkembang positif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Jerman terus menunjukkan perkembangan yang baik di mana hubungan dua hala itu telah mencatatkan perkembangan yang penting dalam hubungan ekonomi.

Salah satu daripada perkembangan positif hubungan ekonomi berkenaan ialah pelaburan projek Brunei dalam pembinaan loji baja di Taman Perindustrian Sungai Liang, di mana pengeluaran komersial daripada loji berkenaan dijangka bermula pada 2021.

Loji itu merupakan pelaburan Brunei yang menandakan langkah ke hadapan yang penting dalam strategi mempelbagaikan ekonomi negara serta akan meningkatkan nilai tambah gas Brunei.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Peter Hermann Wolff ketika berucap di Majlis Hari Penyatuan Negara Jerman yang berlangsung di Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof serta isteri.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib, TYT Peter Wolff serta isteri masing-masing memotong kek sempena Sambutan Hari Penyatuan Negara Jerman itu.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

TYT Peter Hermann Wolff seterusnya menyatakan bahawa pada Disember 2018, Deutsche Telekom menandatangani kontrak bagi penstrukturan sektor telekomunikasi Brunei di mana nadi projek berkenaan ialah penggabungan rangkaian infrastruktur tiga buah syarikat telekom yang sedia ada di Brunei kepada penubuhan sebuah syarikat baharu, United National Network (UNN).

Beliau juga menyatakan bahawa April lalu, syarikat pembuatan kapal Jerman, Lurssen telah menandatangani kontrak dengan kerajaan Brunei dengan tujuan untuk menubuhkan usaha sama untuk mengurus, memodenkan dan mengembangkan Muara Shipyard di bawah nama, Muara Maritime Services (MMS).

Di samping itu, tambahnya, satu lagi perkembangan positif ialah lawatan Yang Berhormat Menteri Pendidikan ke Jerman pada 31 Januari dan 1 Februari lalu, di mana rombongan Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyaksikan Sistem Dual Latihan Teknikal dan Vokasional Jerman yang dikenali antarabangsa dengan keupayaan untuk memadankan bakat individu kepada generasi muda dengan keperluan pasaran.

Jerman ulasnya juga mempunyai hubungan yang baik dengan Brunei di mana mereka sedang berusaha untuk mengeratkan lagi hubungan dengan ASEAN dan pada masa yang sama, Jerman juga dalam Kesatuan Eropah turut berusaha untuk mengeratkan hubungan dengan ASEAN dan negara-negara anggota.

Majlis menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dan TYT Peter Wolff serta isteri masing-masing menyempurnakan pemotongan kek bersempena dengan Sambutan Hari Penyatuan Negara Jerman.

Seterusnya TYT Peter Hermann Wolff dan isteri menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib serta isteri.

Majlis resepsi turut diserikan dengan persembahan pemain piano undangan, Caroline Fisher yang mempersembahkan lagu-lagu klasikal yang menyerikan lagi majlis berkenaan.