Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Iran telah menjalin hubungan diplomatik selama 28 tahun dan sepanjang tempoh itu, kedua-dua negara mempunyai hubungan persaudaraan yang baik sama ada dua hala atau pelbagai hala di arena serantau dan antarabangsa.
“Saya yakin bahawa pada masa depan, dengan usaha para pegawai kedua-dua buah negara Islam ini, hubungan dalam pelbagai bidang akan dipertingkatkan.”
Perkara itu ditekankan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi dalam perutusannya bersempena Ulang Tahun Kemenangan Revolusi Islam ke-43 dan Hari Kebangsaan Republik Islam Iran yang diraikan pada 11 Februari.
Dalam perutusannya itu, Puan Yang Terutama berkata, 43 tahun yang lalu, perubahan besar telah berlaku dalam bentuk Revolusi Islam di Iran, dan sejak itu setelah menjadi sebuah negara Islam dan menjadi republik, ditambah kepada nama Iran dan perlembagaan, mekanisme dasar negara dan luar negara telah ditulis semula mengikutnya.
Sejak itu, tambah beliau, kemerdekaan, pemeliharaan keutuhan wilayah negara dan pemeliharaan maruah manusia, pembangunan keadilan sosial, pertumbuhan manusia dan pembangunan saintifik dan perindustrian negara, bergantung kepada keupayaan domestik, telah berada di barisan hadapan dalam urusan negara.
Puan Yang Terutama mengongsikan, pada masa ini, 18 universiti Iran adalah antara universiti terbaik di dunia dan Iran adalah salah sebuah daripada 10 negara terbaik di dunia, dalam memenangi pingat dalam Olimpik saintifik.
“Menurut Forum Ekonomi Sedunia, Iran telah menduduki tempat kelima di dunia dalam empat bidang iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.”
Selain, Iran juga merupakan negara kelapan di dunia berkeupayaan dalam bidang pelancaran satelit dan negara keempat di dunia dalam bidang nanoteknologi.
Industri penerbangan Iran pula berada di kedudukan ke-10 antara 147 negara di dunia sementara negara itu menduduki tempat kedua dalam kalangan negara tercanggih dalam bidang pengetahuan sel tunjang.
“Terdapat lebih daripada 1,500 syarikat berasaskan pengetahuan dan lebih daripada 36 taman sains dan teknologi di Iran,” kongsi beliau lagi.
Dalam menghadapi pandemik koronavirus pula, Puan Yang Terutama berkata, di sebalik konfrontasi rakyat terhadap kesan sekatan unilateral dan tidak adil, terutamanya dalam bidang perubatan, peralatan perubatan dan kit diagnostik virus, saintis Iran telah bergantung pada pengetahuan asli untuk menghasilkan vaksin COVID-19.
Puan Yang Terutama turut mendoakan untuk masa depan yang cerah, dengan pemulihan ekonomi serta kesejahteraan dan keselamatan rakyat, penyebaran keadilan, keamanan dan rahmat ke seluruh dunia.