Lapan tahun bergelar anak seni, nama pelakon kecil molek, Eyka Farhana, 26, masih belum meledak.
Namun, nasib pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Habil & Qabil pada usia 15 tahun itu dianggap baik apabila banyak tawaran watak utama.
Percaturan hidup dalam kembara kerjaya seninya tidak sepi tanpa kisah cinta dan pernah dikaitkan menjalinkan hubungan dengan pemain bola sepak JDT, Akhyar Rashid.
Namun, sehingga kini, hubungan Eyka dan Akhyar masih menjadi tanda tanya apabila tiada lagi gambar bersama dimuatkan dalam laman Instagram, cuma mereka masih saling mengikuti.
Sejujurnya, Eyka berkata dia enggan larut dengan kisah peribadi hingga tenggelam kerjaya lakonannya.
“Jika boleh, usahlah bertanya soal peribadi. Saya tidak akan menjawabnya, biarlah ia kekal sebagai hak privasi.
“Bukan rimas, tetapi saya memang akan mengelak. Lagipun, masing-masing ada kerjaya yang perlu diberi lebih perhatian.
“Jadi, saya tidak mahu kisah peribadi mengganggu fokus bekerja,” katanya kepada BH Online.
Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi juga tidak tertekan mahu menamatkan zaman bujang, biarpun ramai teman artis mendirikan rumah tangga pada era pandemik COVID-19.
“Masih banyak impian mahu dikejar. Namun, saya tidak mampu menolak kehendak takdir jika sudah bersedia seru untuk berumah tangga.
“Jujurnya, ada hikmah saya belum berkahwin kerana dapat menerokai banyak benda dalam hidup. Jika kahwin awal mungkin semuanya menjadi serba terbatas.
“Impian saya mahu memiliki perniagaan sendiri sebelum mendirikan rumah tangga. Saya nak pusing satu dunia bersama adik selain membantu keluarga,” katanya yang masih menunggu tayangan filem Polis EVO 3.
Eyka berkata, dia akur namanya belum terbang tinggi. “Saya sedar mungkin nama saya tidak segah pelakon gred A. Namun, saya tetap bersyukur diberi kepercayaan untuk membawa watak utama.
“Ada yang beranggapan nama saya belum meledak untuk menyerlahkan bakat sebagai heroin.
“Dalam soal ini, saya tak mampu berbuat apa-apa. Namun, tetap mensyukuri nikmat diberikan,” katanya.
Terdahulu, hubungan Eyka dan Akhyar mula dihidu apabila menerima kejutan sambutan hari lahir ke-25, tahun lalu.
Eyka enggan terlalu terbuka berbicara soal cinta, namun menyenangi karakter Akhyar yang disifatkan kelakar, baik hati dan mementingkan keluarga. – Agensi