Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Hubungan kerjasama bidang pertahanan terus kukuh

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang erat termasuk dalam bidang pertahanan.

    Hubungan erat itu dapat terbukti apabila kapal USS Higgins (DDG 76) iaitu sebuah kapal Arleigh Burke-class guided-missile destroyer, berlabuh di Pelabuhan Muara bermula dari 22 Julai lalu hingga esok.

    Kapal Tentera Laut AS berkenaan berlabuh di Negara Brunei Darussalam sebagai penghormatan bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.

    Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland serta perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat berpeluang untuk mengadakan lawatan serta diberikan penerangan mengenai kapal berkenaan di Pelabuhan Muara, hari ini.

    Semasa lawatan itu, PYT Caryn McClelland dan Timbalan Ketua Misi, Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Emily Fleckner telah dialu-alukan oleh Pegawai Pemerintah USS Higgins, Komander Joseph McGettigan.

    Komander McGettigan memberikan penerangan mengenai ciri-ciri serta keupayaan kapal USS Higgins kepada PYT McClelland, TYT Virgoe, TYT Heng Aik Yeow serta para jemputan yang lain semasa lawatan ke kapal USS Higgins, kelmarin.
    Kapal USS Higgins yang berlabuh di Negara Brunei Darussalam hingga hari ini.

    Rombongan lawatan turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe; Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow serta Kaunselor/Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Suda Atsushi.

    Negara Brunei Darussalam merupakan pelabuhan pertama luar negara yang dikunjungi oleh USS Higgins selepas pandemik COVID-19. Kunjungan pelabuhan rutin itu mengetengahkan kerjasama berterusan antara Brunei dan AS serta sokongan kukuh mereka kepada rantau ini termasuk bagi ASEAN iaitu sebuah mercu tanda dalam strategi Indo-Pasifiknya.

    PYT Crayn McClelland berkata bahawa Brunei dan AS terus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan menerusi latihan ketenteraan dan penglibatan bersama termasuk Southesat Asia Cooperation and Training (SEACAT) pada Ogos 2021 dan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) ke-27 pada November.

    Beliau menambah bahawa kerjasama erat kedua-dua buah negara itu adalah berasaskan kepada keinginan bersama bagi keamanan, sekuriti dan kemakmuran rantau Asia-Pasifik.

    Sementara itu, Komander McGettigan dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) merupakan rakan yang amat baik bagi Tentera Laut AS khususnya sebagai rakan dalam memastikan keamanan dan sekuriti rantau ini.

    Semasa di Brunei, kapal itu telah memberikan lawatan kepada tetamu-tetamu undangan pada 23 dan 25 Julai. Di samping itu, anak kapal berkenaan turut berpeluang untuk mengadakan lawatan ke hutan hujan, meneroka Kampong Ayer serta berkunjung ke beberapa buah tempat menarik di negara ini.

    Kapal USS Higgins ditugaskan ke Task Force 71/Destroyer Squadron (DESRON) 15 dan lawatan itu, merupakan peluang untuk menunjukkan keupayaan USS Higgins apabila ditugaskan di kawasan tanggungjawab US Seventh Fleet.

    Negara Brunei Darussalam dan AS menikmati hubungan persahabatan yang makmur serta sekian lama terjalin sejak penandatanganan Treaty of Peace, Friendship, Commerce and Navigation yang dimeterai lebih 170 tahun lalu.

    Angkatan bersenjata kedua-dua buah negara juga mempunyai hubungan kerjasama yang erat melalui latihan bersama, program-program latihan dan kerjasama ketenteraan yang lain termasuk eksesais CARAT yang merupakan salah satu asas hubungan pertahanan dua hala kedua-dua buah negara.

    Tentera AS dan Tentera Darat Diraja Brunei juga telah mengadakan latihan ketenteraan hutan, Pahlawan Warrior, pada Jun lalu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...