Hubungan Lan Solo dan Rody Kristal kembali pulih

Setelah hampir empat tahun tidak bersemuka disebabkan perselisihan faham, hubungan penyanyi Lan Solo dengan gitaris kumpulan Kristal, Rody kembali pulih.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof berumur 36 tahun, memuat naik foto bersama Rody di laman Instagram selepas terserempak secara tidak sengaja di surau Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

“Alhamdulillah, itu kejadian semalam sebenarnya, kami ada program bersama tetapi bukanlah satu pentas. Rody jadi house band untuk GV, saya untuk program GV Live Plus.

“Masing-masing ke surau kerana nak kejarkan waktu Maghrib, sebab semua program mereka ditahan dan sambung semula selepas Maghrib. Saya tak tahu pun Rody ada di situ, dia pun mungkin tak tahu saya ada.

“Tiba-tiba ada orang cuit bahu saya waktu nak keluar dari surau, dia (Rody) kata eh Lan! Saya pun balas, eh Rody! Itulah benda pertama yang kami cakap,” katanya.

Lan gembira kerana dipertemukan semula dengan Rody selepas empat tahun tidak bertegur. – Agensi

Lan bersyukur dapat bersemuka semula dengan Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin selepas bermasam muka sehingga mengambil keputusan meninggalkan kumpulan Kristal pada November 2017.

Bagaimanapun mereka berdua tidak dapat berborak dengan lama kerana masing-masing sibuk dengan tugasan yang perlu dilakukan pada malam itu.

“Saya rasa gembira dalam penuh kesyukuran sebab benda ini berlaku tanpa sebarang perancangan dan ditemukan di tempat yang baik, kami dah lama tak bercakap sejak tahun 2017.

“Sebenarnya kita tak dapat nak bersembang dengan lebih panjang lagi sebab masing-masing berkejar dengan komitmen pada ketika itu,” ujarnya.

Tambah Lan, dia akan bertemu Rody dalam masa terdekat dan berharap hubungan itu dapat terus dijernihkan tanpa campur tangan orang luar.

Lan, pernah menjadi vokalis kumpulan Kristal selama 18 tahun sebelum membuat keputusan menyertai pertandingan Gegar Vaganza keempat dan mencetuskan krisis dengan anggota lain.

Situasi itu juga mengundang Rody membuat keputusan ‘merehatkannya’ dan mencari vokalis pengganti.

Tindakan itu membuatkan Lan mengundur diri daripada Kristal pada November tahun lalu. Pada 18 Januari 2019, Lan mengakui telah menyekat kesemua ahli kumpulan Kristal di laman sosial miliknya sejak minggu kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) lalu. – Agensi